Kemenangan JDT di Australia lonjak mata MA negara, bantu kekalkan slot ACL Elite buat Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 11 Feb 2025

Persembahan konsisten skuad Harimau Selatan di peringkat Asia membawa manfaat besar buat arena bola sepak tanah air. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

TIGA mata penuh dibawa pulang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan ketujuh Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite menentang Central Coast Mariners di Australia pada Selasa.

Dua gol Alvaro Gonzalez pada separuh masa kedua menyaksikan skuad Harimau Selatan mencatatkan kemenangan ketiga dalam aksi kumpulan Zon Timur, sekali gus meletakkan mereka di kedudukan kelima.

Keputusan tersebut membuka peluang buat kelab Selatan tanah air tersebut untuk mara ke pusingan kalah mati jika mampu meneruskan rentak cemerlang dalam perlawanan penutup menentang Pohang Steelers.

BACA LAGI: Kekalahan JDT-Selangor beri risiko hilang slot ACLE, fans lebih rela jika Harimau Selatan menang ACL2

BACA LAGI: Bola sepak Malaysia tak gagal, individu dalam industri yang gagal — TMJ

479488656_1164575368650403_572852375641483916_n

Skuad Harimau Selatan meraih kemenangan ke atas Central Coast Mariners. Facebook/ACL Champions League

Sekiranya JDT mampu berbuat demikian, ia sudah tentu membawa keriangan buat peminat bola sepak tanah air kerana pasukan Liga Super itu merupakan wakil terakhir negara dalam pertandingan peringkat Asia.

Tidak cukup dengan itu, kejayaan melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik akan membawa manfaat besar buat arena bola sepak tanah air kerana ia akan mengukuhkan kedudukan negara dalam carta liga-liga sekitar benua ini.

Malah, kemenangan ke atas Central Coast Mariners itu sendiri sudah membuktikan impak positif dibawa JDT memandangkan Malaysia melonjak ke tangga ke-12 dalam kalangan negara Asia.

Hal itu diceritakan di laman Facebook JDTFC dengan mengatakan kedudukan negara sudah semakin bertambah baik berbanding bulan-bulan sebelum ini, sekali gus memintas Vietnam dan Australia.

"JDT membantu mengutip tiga mata MA, sekali gus Malaysia melonjak ke tangga kelima Zon Asia Timur. Bagaimanapun, kutipan mata MA dibahagi dua walaupun Selangor tidak berada di perlawanan ACL Two ketika ini," tulisnya.

476652854_1039039984918001_645974480818073214_n

Kedudukan negara melonjak ke tangga kelima dalam kalangan liga sekitar Asia Timur.

Sekiranya kedudukan negara terus kekal dalam kelompok enam teratas Zon Asia Timur, pasukan Liga Super berpeluang melayakkan diri ke ACL Elite musim depan.

Meskipun slot itu jelas dimiliki skuad Harimau Selatan tersebut, peluang menyaksikan kelab tanah air ke pertandingan itu akan membawa pendedahan lebih meluas terhadap arena bola sepak tempatan.

Di samping itu, persembahan konsisten daripada juara Liga Super itu akan memberikan slot automatik kepada kelab tempatan untuk beraksi dalam ACL Two tanpa perlu menempuhi pusingan kelayakan.

JDT selepas ini akan berdepan Pohang Steelers dari Korea Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa depan dengan tiga mata penuh akan mengesahkan kemaraan bergaya mereka ke pusingan kalah mati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram