MALAYSIA berpotensi kehilangan tempat dalam pentas tertinggi kejohanan kelab bola sepak Asia selepas kekalahan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan ACL2.
Juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Harimau Selatan tewas 0-1 kepada pasukan dari China iaitu Shandong Taishan, yang membuka ruang buat kelab Australia dan Vietnam merebut slot tersebut.
Manakala, Selangor pula turut mengalami kekecewaan susulan tewas mengejut kepada Muangthong United 1-2 dalam aksi ACL2 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
BACA LAGI: JDT, Selangor FC kini 'bersaudara', miliki masalah sama di pentas Asia
BACA LAGI: Sering pakai taktikal sama, penyokong JDT mula bosan dengan Hector Bidoglio
Menerusi kemas kini kedudukan Ranking MA Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia, Malaysia sekarang berada di tempat ketujuh dengan pungutan 32.861 mata di belakang Australia dan Vietnam.
Kedudukan ranking itu membuatkan Malaysia berisiko untuk mendapatkan peluang beraksi dalam ACLE pada musim depan sekiranya tiada perubahan dalam perlawanan akan datang melibatkan JDT dan Gergasi Merah.
Begitu pun, penyokong tanah air sudah bersedia jika dua pasukan berkenaan tidak berhasil mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan akan datang dan lebih mengujakan apabila sudah ada peminat bersedia melihat JDT memenangi ACL2.
"Tidak apalah JDT main ACL2, tidak stress tengok main nanti. Tengok pasukan sekarang ini main ala-ala 80-an," kata penyokong domestik, Kamarulzaman Ahmad.
"Tidak apa hilang slot ACLE, JDT boleh jadi juara ACL2," tambah penyokong bola sepak Liga Malaysia (Liga M), AK.
"Kena usahakan untuk menang dalam perlawanan seterusnya kalau mahu mendapatkan slot ACLE untuk JDT," tambah penyokong bola sepak tanah air, Joel King.
Respons sebegitu hadir dalam kalangan penyokong kerana mereka optimis reputasi dan kekuatan Harimau Selatan pasti tidak mempunyai masalah menewaskan pasukan-pasukan yang jauh lebih rendah dari segi ranking.
Dalam pada itu, Harimau Selatan selepas ini dijadualkan bertemu gergasi Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dekat Iskandar Puteri, Johor pada 3 Disember.
Sementara itu, Selangor wajib menang ke atas wakil Filipina Dynamic Herb Cebu FC pada aksi pelengkap kumpulan 5 Disember ini, selain perlu mengharapkan keputusan pasukan lain untuk mengesahkan slot pusingan kalah mati itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram