Bonilla pamer wajah tak puas hati ‘dibuang’ lepas ledak gol kedua TFC di Paroi


  • Podium
  • Ahad, 09 Feb 2025

Bonilla meledak gol kedua buat Terengganu di Paroi pada Ahad. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) meraih tiga mata selepas merekodkan keputusan 2-0 menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan FC pada Ahad.

Pasukan kendalian Badrul Afzan Razali menurunkan pemain utama di bahagian serangan seperti Nelson Bonilla, Ismaheel Akinade, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid untuk menggerakan jentera serangan.

Manaka, pasukan tuan rumah pula mempertaruhkan Che Rashid Che Halim, Harith Samurai dan Zainal Abidin untuk mengekang percubaan oleh barisan serangan Terengganu.

BACA LAGI: 'Jangan jadikan alasan', fans TFC enggan jadual padat punca dikecewakan BG Pathum United

BACA LAGI: Misi sekat BG Pathum United makin sukar, lepas Ivan Mamut, TFC hilang khidmat Alif Zakaria

Selepas 26 minit menjaga bahagian belakang skuad Jang Hobin Jang dengan baik, gawang Negeri Sembilan akhirnya bolos hasil percubaan jarak jauh dari Nurillo Tukhtasinov.

Pemain tengah skuad Sang Penyu itu menggunakan sebaiknya situasi bola mati apabila sepakan percumanya berhasil membolosi gawang yang dijaga oleh penjaga gol, Muhamad Aqil Razak.

Walaupun Terengganu berhasil mendapatkan gol pendahuluan daripada gol cantik Nurillo, ketiadaan penyerang import Croatia iaitu Ivan Mamut masih dicari-cari penyokong kelab Pantai Timur berkenaan.

“Mana dah Ivan Mamut,” tanya penyokong Terengganu, Jamal Betta.

“Terengganu kena scam oleh Ivan Mamut kah,” tambah penyokong Sang Penyu, Mohd R’One.

Bersambung babak kedua, pelbagai percubaan dilakukan oleh jentera serangan Terengganu namun kecemerlangan Aqil Razak dalam menepis wajar diberikan kredit.

Tuan rumah hampir mendapatkan gol penyamaan menerusi percubaan Jaque Faye yang berjaya memperdayakan penjaga gol, Syed Mohd Nasrulhaq Syed Bidin pada minit ke-58, namun bola yang hampir melepasi garisan gol itu berjaya disepak keluar Safwan Maslan.

Pada minit ke-78 permainan, pasukan Pantai Timur berkenaan mendapat sepakan penalti daripada pengadil perlawanan, Firdaus Dahlan. Peluang diberikan itu berhasil dimanfaatkan sebaiknya oleh Nelson Bonilla menerusi rembatan kencangnya.

Usai menambah kegembiraan buat skuad Sang Penyu, ketua pasukan skuad kebangsaan El Salvador, itu dikeluarkan pada minit ke-79 dan digantikan dengan Akram Marinan.

Jelas kekecewaan terpapar pada wajah Bonilla yang masih mahu membantu skuad Sang Penyu dan mahu menambah akaun golnya dalam saingan Liga Super. Bonilla ketika ini baru meledak tiga gol buat Sang Penyu.

Saingan Liga Super pada minggu hadapan akan menyaksikan Terengganu melayani kunjungan KL City pada 14 Februari ini manakala Negeri Sembilan menentang PDRM pada hari yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram