Kekayaan JDT bagaikan jerat diri, bintang Napoli antara 3 import 'scam' Harimau Selatan musim 2024/2025


  • Podium
  • Jumaat, 31 Jan 2025

Cardoso (kanan) yang pernah beraksi bersama Napoli dilabel sebagai pemain paling 'scam' untuk musim 2024/2025 JDT. — Agensi

TIDAK dapat dinafikan lagi Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan kelab bola sepak paling berjaya dan kaya di Malaysia lagi-lagi jika mengambil kira pelbagai syarikat yang sudah bekerjasama dengan mereka.

Salah satu rahsia skuad Harimau Selatan berhasil mengukuhkan kewangan mereka ialah menerusi kebijakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang merupakan figura utama dalam pengurusan kelab.

Kecerdasan yang dimiliki Tunku Ismail berhasil menarik pelbagai jenama antarabangsa seperti Socios.com, Nike dan pelbagai jenama besar lain. Penajaan itu memberi sumber kewangan yang signifikan bagi kelab.

BACA LAGI: Belum sempat debut Liga Super, dah dengar khabar angin import baharu JDT kena 'loan' ke kelab luar

BACA LAG: Skrip berbeza dengan import JDT, ada kisah sadis 3 pemain tak sempat debut aksi pertama Liga Super

Kewangan yang kukuh secara tidak langsung memberi keberanian untuk Harimau Selatan mengeluarkan wang lebih untuk membeli beberapa pemain bertaraf bintang bola sepak dunia atau sebelum ini mempunyai reputasi beraksi dengan kelab besar Eropah.

Musim lepas menyaksikan JDT berbelanja banyak membawa masuk beberapa pemain ternama namun tidak semuanya memberi pulangan yang baik, sebaliknya hanya menjadi beban kepada juara bertahan Liga Super tersebut.

Justeru itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain import yang dianggap 'scam' oleh penyokong susulan tidak memenuhi jangkaan Harimau Selatan;

1) Jalil Elias

Bintang dari Argentina, Jalil Elias tiba pada awal musim 2024/2025 dengan reputasi sebagai pemain paling bernilai dalam sejarah Liga Super apabila nilainya mencecah nilai 3 juta Euro (RM15.2 juta).

Bagaimanapun, kehadirannya serba tidak menjadi hingga JDT meminjamkan khidmatnya ke kelab Argentina, Velez Sarsfield bagi memberinya peluang untuk meraih minit permainan selepas dia hanya merekodkan satu penampilan Liga Super.

Satu-satunya perlawanan yang sempat dilihat penyokong JDT adalah ketika perlawanan bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) dan khidmat pemain tengah bertahan itu hanya digunakan selama 69 minit sahaja.

Kemungkinan pemain berusia 28 tahun itu tidak sesuai dengan suasana Liga Malaysia juga boleh berlaku kerana Jalil menjadi salah seorang tonggak utama membantu Velez Sarsfield menjulang trofi Liga Profesional musim 2024.

Selepas ini, Jalil boleh membuktikan kembali nilainya selepas kontraknya bersama Velez Sarsfield telah tamat dan pemain itu mungkin akan kembali ke pangkuan kelabnya tidak lama lagi.

2) Jese Rodriguez

Penghijrahan Jese Rodriguez menjadi buah mulut peminat bola sepak global kerana pemain kelahiran Sepanyol tersebut pernah beraksi di Eropah bersama beberapa kelab, seperti Real Madrid dan Paris Saint-Germain.

Tidak cukup dengan itu, Jese pernah menjulang dua trofi UCL sepanjang beraksi buat Real Madrid, sekali gus menjadikannya pemain luar negara pertama bermain dalam Liga Super dengan gelaran itu.

Namun, impak daripada kehadiran Jese masih belum dirasakan sehingga ke hari ini kerana penyerang sayap itu hanya merekodkan lima penampilan secara keseluruhan dengan dua daripadanya direkodkan dalam Liga Super.

Malah, sepanjang tempoh kira-kira lima bulan di Selatan tanah air, pemain itu hanya menjaringkan satu gol dan satu bantuan jaringan iaitu ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) Rovers dalam saingan Piala Malaysia.

Rekod tersebut jelas mengecewakan penyokong Harimau Selatan yang mengharapkan pulangan berbaloi daripada Jese lagi-lagi jika melihat kembali pengalamannya beraksi bersama pasukan ternama Eropah.

3) Nicolao Cardoso

Penyerang sayap kiri, Nicolao Cardoso boleh dilabel sebagai pemain paling 'scam' untuk musim 2024/2025 JDT apabila pemain itu tidak pernah membuat sebarang penampilan bersama Harimau Selatan.

Jika melihat rekod kelab terdahulu, Cardoso juga tidak kurang hebatnya apabila pernah menyarung jersi Napoli, Nottingham Forest, Suwon Bluewings dan termasuklah kelab Thailand, Buriram United.

Cardoso bagaimanapun seolah-olah tidak berhasil menunjukkan persembahan memukau ketika aksi latihan dan menyebabkan dia tidak tersenarai dalam mana-mana perlawanan hingga terpaksa dipinjamkan ke kelab Liga 1 Indonesia, PSS Sleman.

Sejak dipinjamkan ke skuad Laskar Sembada pada Julai lepas, pemain berusia 33 tahun itu sudah tampil dalam 16 perlawanan domestik dan menyumbang tiga gol serta dua bantuan jaringan buat PSS Sleman.

Adakah perkembangan positif bekas pemain skuad kebangsana Itali bawah 20 tahun itu bersama PSS Sleman akan membuatnya kembali bersama JDT pada musim depan atau terus dibeli oleh kelab Indonesia itu? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram