
PERLAWANAN antara Kuching City FC dan Perak FC mendapat tumpuan penyokong bola sepak tempatan selepas kedua-dua pasukan mahu meletakkan diri mereka di dalam kelompok lima terbaik Liga Super ketika ini.
Perak yang hadir dengan prestasi cemerlang menewaskan Kelantan Darul Naim FC 7-0 pastinya mahu meneruskan persembahan itu di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada Jumaat (7 Februari).
Hasrat Perak untuk meneruskan rentak kemenangan itu dilihat berada pada landasan yang tepat selepas gandingan Clayton da Silva bersama Muhammad Firdaus Saiyadi menghasilkan jaringan pertama buat The Bos Gaurus pada minit ke-14.
BACA LAGI: 'Takda idea, gila publisiti', Safawi Rasid mahu saman berita fitnah kononnya meninggal dunia
BACA LAGI: [VIDEO] Tindakan 'passing' Haqimi Azim buat fans geleng kepala, mula bandingkan dengan pemain Eropah
Namun begitu, penguasaan bola di separuh masa pertama Kuching City memberikan kesukaran buat pertahanan Perak yang diketuai oleh Sunday Afolabi apabila barisan serangan tuan rumah mengawal 76 peratus permainan.
Hazwan Bakri yang diberikan kepercayaan oleh Aidil Shahrin untuk mengetuai jentera serangan Kuching City selepas kembali daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) turut memainkan peranan penting semasa separuh masa pertama.
Pada minit ke-40, kapten Kuching City, James Okwuosa mendakwa Afolabi melakukan kekasaran semasa mahu menerima hantaran percuma dari Petrus Shitembi sebelum pengadil, Muhammad Usaid Jamal tidak berminat dengan permintaannya itu.
Keputusan kekal 0-1 dengan Kuching City ketinggalan hasil jaringan Firdaus pada separuh masa pertama selepas pengadil memeriksa Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk membenarkan gol tersebut.
Bersambung babak kedua, Kuching City tidak menunggu lama untuk terus mengasak kubu pertahanan Perak yang lebih cenderung bermain secara bertahan.
Usaha Kuching City untuk mengadakan asakan jelas kelihatan apabila Aidil Shahrin membawa masuk Jordan Mintah untuk menambah sengat di barisan serangan The Cats.
Hasil percaturan taktikal Aidil Shahrin itu menemui hasilnya apabila Muhammad Ramadhan Saifullah menanduk bola masuk sekali gus menewaskan Muhammad Haziq Nadzli yang beraksi cemerlang sepanjang 71 minit perlawanan.
Walaupun sudah menjaringkan gol penyamaan, Kuching City dilihat tidak selesa dengan keputusan itu apabila terus menerus menyerang barisan serangan Perak.
Keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh Usaid Jamal sekali gus kedua-dua pasukan hanya membawa pulang satu mata.
Melihat keputusan dan corak permainan ditampilkan Perak, rata-rata penyokong The Bos Gaurus tidak berpuas hati dengan taktikal Yusri Che Lah.
Seorang penyokong, Faris Li meluahkan rasa hampa apabila pemain-pemain Perak lebih memilih untuk beraksi secara bertahan selepas membuka akaun jaringan.
"Dapat sebiji 'leading' terus main parking bas, taktikal Yusri Che Lah," katanya.
Akop Putra turut bersetuju dengan komen diberikan Faris selepas pelik apabila pemain Perak lebih memilih untuk bertahan.
"Apa punya taktikal main macam ini? Dapat sebiji terus 'parking' bas depan tiang gol," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Fairuz Abu Bakar menyifatkan taktikal dipamerkan pemain Perak tidak seperti Kuching City yang memegang bola sebanyak 99 peratus.
"'Possession' Kuching 99 peratus, Perak satu peratus, bertubi-tubi Perak kena serang," jelasnya.
Keputusan seri antara Perak dan Kuching itu membezakan mereka hanya satu mata dalam Liga Super dengan The Bos Gaurus berada di tempat kelima.
Manakala Kuching City pula menduduki tangga keenam dengan kurang tiga perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram