Kedah bercita-cita besar, sambar bintang Paraguay menjelang kempen MPFL


  • Podium
  • Khamis, 06 Feb 2025

Kedah menamatkan saingan divisyen kedua MPFL musim lalu di tangga kedua. — Facebook/Kedah FA

SAINGAN Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2025 akan menyaksikan sedikit perubahan apabila Kedah dan Malaysian University akan menjadi pencabar terbaru, menggantikan Terengganu dan Shah Alam City.

Tahun lalu, kedua-dua kelab itu hanya beraksi di divisyen kedua dengan Kedah menamatkan saingan di tangga keempat sementara Malaysian University menduduki tangga keempat.

Kedudukan tersebut sudah cukup untuk meletakkan mereka di liga teratas bagi kempen akan datang seperti mana dinyatakan penganjurnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu hantaran.

BACA LAGI: Selangor belum puas, pantas sambar mesin pencetak gol Pahang Rangers menjelang tirai MPFL

BACA LAGI: Bintang futsal negara tinggalkan Selangor selepas 6 tahun, JDT disebut-sebut destinasi baharu

476337710_18486269644044260_2868397033360584981_n

Olmedo merupakan rekrut import berkualiti Kedah bagi saingan MPFL musim akan datang.Facebook/Arena Futsal

Tumpuan semestinya diberikan kepada Kedah yang turut beraksi cemerlang sepanjang 2024, termasuk dalam kempen Piala Malaysia Futsal meskipun tersingkir di pusingan awal di tangan Pahang Rangers.

Ini kerana kelab Utara tanah air itu memiliki dua import berkualiti iaitu Nattawat Luksanato dan Ratchanon Rodjakrai selain turut dibarisi pemain tempatan dalam kelas tersendiri.

Namun, ia tidak menghalang pasukan bimbingan Aidiel Boon Abdullah itu daripada terus memperkuatkan pasukan kerana baru-baru ini, Kedah difahamkan berjaya membawa masuk bintang dari Paraguay, Shammir Olmedo.

Meskipun perkara tersebut tidak diumumkan secara rasmi di mana-mana media sosial rasmi kelab, laman sesawang Arena Futsal tampil menghebohkan hal berkenaan kepada peminat sukan itu.

"Shammir Olmedo adalah pemain futsal Paraguay yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam kariernya. Dia pernah bermain untuk beberapa kelab terkemuka di Paraguay, termasuk Cerro Porteno dan Sport Colonial.

WhatsApp Image 2025-02-06 at 12.34.05 AM

Olmedo mempunyai pengalaman luas dalam sukan futsal di Amerika Selatan. X/Shammir Olmedo

"Pada 2018, Olmedo dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Paraguay dalam Sukan Amerika Selatan di Cochabamba, Bolivia. Selain itu, Olmedo turut menyumbang kepada kejayaan pasukan Simon Bolivar dalam memenangi Copa de Oro pada 2022," tulisnya pada Selasa.

Mengikut rekod, rekrut baharu Kedah tersebut juga pernah dipanggil mewakili negaranya dalam Copa Centroamericana de Futbol Unificado dengan kehadirannya membantu pasukan itu membawa pulang pingat gangsa.

Kehadiran pemain dari Amerika Selatan itu sudah tentu merancakkan lagi saingan MPFL musim depan dengan beberapa import lain seperti Sergio Jamur bersama Pahang Rangers dan rekrut baharu Selangor, Malcom akan turut beraksi.

Kemeriahan daripada semua pencabar tersebut pasti akan memberi isyarat kepada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk memberikan usaha penuh demi mempertahankan gelaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram