Lupakan episod duka Piala Malaysia, Akinade tagih kebangkitan Sang Penyu di bumi Bangkok


  • Podium
  • Isnin, 03 Feb 2025

Meskipun gagal ke final Piala Malaysia, Skuad Sang Penyu dijangka lebih bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir bertemu wakil kelab Thailand, BG Pathum dalam saingan Piala Shopee pada Rabu.

PERJUANGAN Terengganu FC yang sudah ternoktah dalam saingan Piala Malaysia 2024 memang menyakitkan namun mereka pastinya memilih untuk mengambil sisi positif dari pengalaman tersebut untuk mempersiapkan diri bagi cabaran sengit dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Shopee pada Rabu.

Skuad Penyu tewas dengan agregat 1-6 dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT), sekali gus gagal mara ke final buat kali kedua berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu minggu lalu.

Walaupun begitu, pasukan yang dikendalikan oleh Badrul Afzan Razali menunjukkan semangat juang dalam perlawanan kedua dengan kekalahan tipis 1-2, berbanding 0-4 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 17 Januari lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Jojo segak 'catwalk' berbaju Melayu, siap belanja 'shadow boxing' di pentas fesyen Bulan Bintang

BACA LAGI: [VIDEO] Keputusan VAR 'last minute' kecewakan fans, aksi JDT-MUFT dan Selangor-Penang turut terpalit

WhatsApp Image 2025-02-03 at 12.34.21 (1)

Terengganu FC terpaksa melupakan impian ke final Piala Malaysia selepas tewas 1-6 secara agregat di tangan JDT.

Meskipun tewas, gol tunggal TFC yang dijaringkan oleh penyerang Nigeria, Ismaheel Akinade pada minit ke-59 menamatkan kemarau golnya sejak September lalu.

Gol tersebut adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan apabila Akinade berjaya menyempurnakan hantaran lintang daripada Ubaidullah Samsul Fazili untuk menewaskan penjaga gol JDT, Christian Abad.

Gol tersebut memberi suntikan semangat buat Akinade dan rakan-rakannya yang kini akan ke Bangkok untuk bertemu wakil kelab Thailand, BG Pathum United.

Perlawanan itu merupakan aksi wajib menang bagi Terengganu jika mereka ingin layak ke separuh akhir dan juga menjuarai kumpulan.

BG Pathum United kini berada di tangga teratas dengan lapan mata, sementara Terengganu berada di tempat kedua dengan tujuh mata.

WhatsApp Image 2025-02-03 at 12.34.22

Akinade (tengah) menamatkan kemarau golnya sejak September lalu dengan mencetak satu gol dalam aksi timbal balik bertemu JDT.

Akinade mengakui gembira akhirnya berjaya menjaringkan gol selepas empat bulan tanpa sebarang jaringan.

“Ia sangat bermakna kerana saya sudah lama tidak menjaringkan gol. Kami tahu ia akan sukar kerana kami tewas 0-4 kepada JDT, tetapi kami menunjukkan semangat dan akhirnya hanya kalah 1-2 dalam aksi timbal balik.

“Kami akan ambil sisi positif dari perlawanan kedua dan terus berusaha untuk meraih kemenangan di Bangkok," katanya.

Akinade juga memberi pujian kepada rakan sepasukannya yang tetap gigih walaupun terpaksa mengharungi jadual yang padat.

“Kami telah bermain lima perlawanan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, setiap perlawanan selepas tiga hari. Ia sangat menguji. Kami tidak mempunyai skuad yang besar seperti JDT.

"Semua pemain telah memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan. Musim ini panjang, tetapi kami akan terus berjuang.

"Sebenarnya, saya rasa kekejangan pada otot hamstring saya, tetapi saya berjaya menguruskan diri dengan baik sepanjang perlawanan kedua. Saya berharap dapat menjadi lebih baik apabila berdepan Pathum," tambahnya. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram