PENANTIAN penyokong Terengganu FC menunggu kepulangan penyerang import Croatia, Ivan Mamut akhirnya menemui titik noktah.
Ini apabila pihak pengurusan Terengganu secara rasmi mengumumkan kepulangan Mamut selepas berehat panjang sejak awal musim ini.
Pemain berusia 28 tahun itu menjadi peledak prolifik Terengganu pada musim lalu selepas menjaringkan 23 gol dalam 35 penampilan di bawah bimbingan bekas pengendali, Tomislav Steinbruckner.
Menerusi posting media sosial Terengganu, Mamut akan menjalani rawatan akhir bersama barisan perubatan Sang Penyu sebelum boleh beraksi semula untuk baki saingan Liga Super.
"Ivan Mamut selamat tiba ke Terengganu pada tengah hari tadi (7 Januari). Ivan yang sebelum ini menjalani pembedahan dan rawatan di luar negara telah diberikan tempoh menjalani pemulihan di sana sehingga awal Januari 2025.
"Beliau akan menjalani pemeriksaan kondisi terkini serta rawatan lanjut bersama staf perubatan Terengganu FC serta mula menjalani rawatan pemulihan di sini."
Kehadiran Mamut itu membuat penyokong-penyokong Sang Penyu teruja selepas setahun merindui aksi pemain berketinggian 1.92 meter itu mengaum kembali.
Dengan gandingan pemain import serangan sedia ada, Ismaheel Akinade dan Nelson Bonilla penyokong menjangka aksi luar biasa bakal dipamerkan trio itu.
Mamut yang pernah menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi jaringan sepakan penalti dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 pastinya memikul tanggungjawab besar untuk terus membantu Terenggu pada baki saingan liga.
"Harap boleh pakai lawan JDT (Johor Darul Ta'zim), letak semua import dekat depan. Ivan Mamut, Ismaheel dan Bonilla," kata Ahmad Fadzrul.
"Akhirnya awak datang juga Mamut, lama dah saya tunggu. Final Piala Malaysia nanti boleh beraksi," ujar Kamarudin Hamzah.
"Tak sabar nak tengok gandingan trio import, harap boleh bantu Terengganu dapat slot ke Asia musim depan," luah Samad Anuar.
Gandingan trio pemain import itu bakal mengembalikan nostalgia tiga gandingan bintang tempatan iaitu Manaf Mamat, Ashari Samsudin dan Hadi Yahya.
Untuk rekod, tiga trio tempatan itu menjaringan 43 gol pada 2011 dan menjadi gandingan paling berbisa yang pernah peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong Sang Penyu saksikan dalam sejarah bola sepak Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram