
SKUAD Harimau Selatan meneruskan rentak kemenangan apabila merekodkan tiga mata penuh dalam aksi Liga Super menentang PDRM FC di laman sendiri pada Rabu.
Kemenangan 4-0 ke atas pasukan Lembah Klang itu memastikan Johor Darul Ta'zim (JDT) terus berada di persada carta dengan kelebihan besar dimiliki berbanding pencabar terdekat, Selangor FC.
Aksi tersebut turut diraikan ribuan penyokong yang hadir kerana masing-masing tertarik dengan persembahan penyerang dari Sepanyol, Jese Rodriguez yang juga berada dalam senarai penjaring.
BACA LAGI: Satu-satunya kelab calar rekod bersih JDT, PDRM idam 'gari' Harimau Selatan di SSI
BACA LAGI: 'JDT rekrut pemain tua, bukan rugi tapi pelaburan'
Pemain yang dibawa masuk dengan reputasi hebat itu sebelum ini kerap dipersoalkan kehadirannya kerana masih belum membuka akaun jaringan dalam saingan Liga Super.
Namun, ketika menerima kunjungan skuad Sang Saka Biru, dia yang dimasukkan untuk menggantikan Jorge Obregon menamatkan penantian untuk mencetak gol pada minit ke-54 permainan.
Skuad Harimau Selatan merekodkan tiga mata penuh dengan kemenangan ke atas PDRM FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Sumbangan bekas penyerang Real Madrid tersebut tidak terhenti di situ apabila memasuki minit ke-30 perlawanan, dia melakukan hantaran lolos kepada rakan sepasukan, Romel Morales.
Percubaan pemain naturalisasi itu pada awalnya hanya mengenai tiang gol PDRM FC, namun dia sempat menyudahkan peluang tersebut, sekali gus menyaksikan Jese menambah koleksi bantuan jaringan dalam Liga Super.
Kehadiran Jese dalam aksi tersebut sekali gus membuatkan rata-rata penyokong JDT kembali memandang tinggi terhadapnya selain mengharapkan kecemerlangan itu diteruskan.
"Baru nampak bisa daripada dia, ini berita baik buat JDT. Harapnya dapatlah dia meneruskan rentak dalam aksi Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite," kata Zaman Salleh.
"Rasanya inilah gol pertama daripada Jese, harapnya dapatlah dia meneruskan persembahan sebegini, bolehlah Arif Aiman (Hanapi) dan Bergson da Silva berehat sebentar," kata Siti Zaleha.
Pemain dengan gelaran Liga Juara-Juara UEFA (UCL) itu dibawa masuk skuad Harimau Selatan selepas bergelar ejen bebas berikutan pembatalan kontrak dengan kelab Brazil, Coritiba FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram