'Next' Arif Aiman, duo 'homegrown kid' Sri Pahang antara 4 tonggak muda menyinar aksi Piala Malaysia


  • Podium
  • Selasa, 28 Jan 2025

Ibrahim (kanan) merupakan tulang belakang bahagian tengah dalam memastikan pasukan lawan tidak mudah untuk menguasai perlawanan. — Facebook/SriPahang

PIALA Malaysia merupakan salah satu kejohanan bola sepak yang paling berprestij di negara ini dan setiap tahun, ia menjadi pentas kepada pemain-pemain berbakat untuk menyerlahkan kebolehan mereka.

Dalam edisi terbaru Piala Malaysia, beberapa pemain muda daripada pelbagai pasukan telah menunjukkan prestasi luar biasa dengan membuktikan bahawa masa depan bola sepak domestik cerah apabila adanya bakat-bakat muda berbakat.

Keempat-empat pemain itu bukan sahaja memperlihatkan kemahiran individu yang tinggi, tetapi juga memberikan impak besar kepada pasukan mereka dalam membantu mencapai kejayaan atau mempersembahkan aksi menghiburkan kepada penyokong.

BACA LAGI: Momentum sudah ada, peluang rebut Top 3 jadi pembakar semangat TFC tumpaskan JDT

BACA LAGI: TFC hilang kapten, bintang utama berdepan JDT

Pemain-pemain tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan pasukan mereka, tetapi juga menunjukkan potensi besar untuk menjadi bintang bola sepak negara pada masa hadapan;

1) Ibrahim Manusi-Saiful Jamaluddin

saiful

Saiful (kanan) dan Ibrahim (kiri) antara tonggak muda menyinar Tok Gajah. — Facebook/SriPahang

Piala Malaysia 2024 merupakan kali pertama Sri Pahang mara ke separuh akhir selepas lima tahun apabila kali terakhir Tok Gajah mara ke semifinal pada musim 2019. Namun, mereka gagal ke pusingan akhir selepas tewas kepada Kedah FA.

Pahang yang ketika ini hanya perlu mengharungi pusingan kedua separuh akhir di Temerloh menewaskan Sabah FC sebenarnya banyak bergantung kepada dua pemain muda iaitu Saiful Jamaluddin, 22, dan Ibrahim Manusi, 23.

Berkat disiplin dan ketenangan yang memukau sejak pusingan pertama Piala Malaysia, dua anak jati Pahang yang hadir daripada skuad simpanan Tok Gajah itu berjaya mencuri perhatian pengendali, Fandi Ahmad.

Selain Fandi, dua pemain muda itu juga mendapat pujian daripada ketua pasukan Tok Gajah, Kpah Sherman yang menyifatkan Saiful dan Ibrahim merupakan tulang belakang bahagian tengah dalam memastikan pasukan lawan tidak mudah untuk menguasai perlawanan.

2) Ahmad Daniel Hakimi

DANIEL

Daniel Hakimi bantu TBG mara ke pusingan suku akhir. — Facebook/PerakFC

Pemain yang mewakili pasukan Ipoh Unity Recreation Club (IURC) dalam saingan Piala Cheetah tahun 2023 ini mula mewakili pasukan Perak FC III dalam pertandingan Piala Presiden bermula musim 2023 hingga 2024.

Persembahan cemerlang pemain tengah, Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil mula menyinar ketika aksi kemenangan ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC untuk membolehkannya mendapat tempat sebagai masa depan Perak.

Pemain berusia 19 tahun itu meledak gol debut bersama skuad The Bos Gaurus (TBG) menerusi sepakan penalti apabila pemain itu dijatuhkan pada minit ke-89 dan memberi kemenangan 3-0 kepada Perak.

Dia yang mesra dengan sapaan Kecik Maro itu menjalankan peranannya dengan baik apabila berfungsi dalam melakukan percubaan ke kubu lawan hingga menyaksikan The Bos Gaurus (TBG) mara ke pusingan suku akhir.

3) Alif Mutalib

alif mutalib

Alif (tengah) beraksi sebagai penyerang sayap JDT. — Facebook/JDT

Piala Malaysia musim ini menyaksikan JDT memberikan Alif Mutalib, G. Pavithran dan Chrisitian Abad penampilan pertama bersama skuad utama Harimau Selatan dan ia berjaya menarik perhatian penyokong yang hadir dengan persembahan mereka.

Tumpuan nyata terarah kepada Alif yang beraksi di bahagian sayap dengan persembahannya mengingatkan penyokong Harimau Selatan kepada Arif Aiman Hanapi.

Melihat kepada potensi yang ada padanya, ramai berpendapat dengan latihan yang betul, Alif boleh menjadi cemerlang seperti Arif yang kini merupakan watak utama JDT dan skuad kebangsaan.

Pemain berusia 23 tahun berkenaan diturunkan ketika aksi pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur (KL) Rovers apabila meledak satu gol dalam kemenangan 6-0 pada perlawanan kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram