
KEPUTUSAN bekas pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor untuk menyertai Perak FC pada 2022 menimbulkan persoalan kerana ketika itu, pasukan tersebut tidak berada dalam landasan terbaik.
Selain dirundung isu kewangan kronik, skuad The Bos Gaurus (TBG) berada di Liga Perdana dengan rata-rata pemain diturunkan kurang dikenali dan tidak memiliki pengalaman luas.
Namun, ia tidak menghalang Wan Zack daripada mencurahkan kesetiaan buat kelab Utara tanah air itu yang kemudian menjadikannya antara pemain lokal kesayangan penyokong.
BACA LAGI: Pilih Penang FC, ikut jejak Safawi antara 3 destinasi relevan andai Wan Zack tinggalkan Perak
BACA LAGI: [VIDEO] Selepas Luciano Guaycochea dan Wan Zack, Syafiq Ahmad pula 'belanja' skil takraw
Kualiti dimiliki Wan Zack jauh meninggalkan rakan sepasukannya yang lain. — Facebook/Perak FC
Manakan tidak, sepanjang hampir tiga tahun bersama Perak FC, pemain serba boleh itu kerap menampilkan aksi memuaskan, lebih-lebih lagi bagi kempen kali ini sehingga meletakkan skuad TBG berada di tangga kelima Liga Super.
Jadi, bagi meraikan kehadirannya dalam pasukan, penyokong sempat melontarkan pujian terhadapnya menerusi ruangan komen di laman Facebook kelab terhadap hantaran yang meraikan sambutan ulang tahun ke-34 pada Selasa buat penyerang sayap terbabit.
Masing-masing seperti amat teruja akan Wan Zack berdasarkan ucapan dilontarkan terhadapnya dengan rata-rata pengguna media sosial mengharapkan pemain itu kekal sihat.
Bagaimanapun, ada pula yang sempat meletakkan pengharapan supaya bekas pemain FC Ryukyu itu kekal buat sekurang-kurangnya setahun lagi bersama skuad TBG.
"Selamat hari lahir, bosku. Semoga lanjutkan lagi kontrak Wan Zack Haikal kerana ada daya kepimpinan dan inisiatif daripada seorang penyerang gantian," kata Wan Samba Samba.
"Sudah berusia 34 tahun rupanya dia ni. Nampak daripada gaya permainan, masih bersemangat lagi. Apa-apa pun, saya mengharapkan Wan Zack kekal dengan Perak FC," kata Zamri Kadir.
Pada penghujung tahun lalu, pemain berkenaan pernah memberi kata-kata tersirat menerusi akaun Instagram peribadinya sehingga penyokong beranggapan dia akan berkelana.
Ini kerana pada tempoh tersebut, skuad TBG menyaksikan pemergian tunjang import iaitu Jesper Nyholm, Lee Tae-min dan Luka Milunovic yang memberi tamparan hebat terhadap penyokong.
Tetapi, ketika ini, Wan Zack masih setia bersama Perak FC dengan keputusan terbabit menjadi isyarat buat pihak pengurusan untuk menawarkan kontrak baharu kepadanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram