Pemain muda disanjung, Hadi Fayyadh pula dilabel 'kaki tarik' oleh fans TBG


  • Podium
  • Khamis, 20 Apr 2023

Pasukan Perak FC gagal memperoleh kemenangan selepas seri 1-1 dengan Negeri Sembilan FC pada Rabu. — Facebook/PerakFC

PASUKAN Perak FC masih gagal memperoleh kemenangan selepas seri 1-1 dengan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan kesembilan saingan Liga Super musim ini.

Meskipun beraksi di hadapan penyokong sendiri, ia gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad Seladang yang masih mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.

Bermula garang di separuh masa pertama, Perak berjaya membolosi jaring lawan seawal minit ketiga permainan menerusi rembatan pemain muda Alif Zikri.

Meskipun baru pertama kali beraksi bersama skuad senior di saingan Liga Super, Alif tidak kekok untuk membentuk persefahaman bersama rakan sepasukannya hingga berjaya menerjah ke gawang lawan.

Namun, bersambung di babak kedua permainan menyaksikan kebangkitan dipamerkan skuad Negeri Sembilan FC yang berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang Shahrel Fikri pada minit ke 69 perlawanan.

Keputusan itu kekal hingga ke wisel penamat sekali gus menyaksikan anak-anak buah Lim Teong Kim masih gagal memperoleh tiga mata berharga dalam perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong memuji ketangkasan serta keberanian Alif Zikri yang pertama kali diturunkan beraksi di saingan Liga Super.

Mahu pemain itu dikekalkan dalam skuad utama pada perlawanan akan datang, pemain di posisi pertahanan itu kerap kali membantu jentera serangan menerusi hantaran jauh yang tepat ke arah rakan sepasukan.

Namun, kelibat penyerang sensasi Perak, Hadi Fayyadh pula hangat diperkatakan penonton yang mula berang dengan gaya permainan longlai ditunjukkan pada perlawanan tersebut.

hdsa

Hadi Fayyadh gagal membantu pasukan meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri. — Facebook/PerakFC

"Hadi Fayyadh tu main serupa tak pernah berlatih kenapa, asyik main tarik baju pemain je macam tak reti nak buat serangan langsung," ujar Amir Zaidi.

"Banyak kelemahan dari segi hantaran, tapi sampai sekarang aku tak faham kenapa Hadi Fayyadh suka tarik baju pasukan lawan, itu skil dia ke apa," ujar Hairi Zaini.

"Fayyadh berlatih sampai ke Jepun dulu dia belajar cara tarik baju je ke, lembik langsung tak agresif langsung atas padang," jelas Azwane Halim.

"Pelik kenapa Teong Kim masih percayakan si Hadi itu, lembik atas padang tak banyak buat serangan ke arah gawang lawan tapi masih dapat kesebelasan utama, tambah Maliki Aziz.

Pada perlawanan berikutnya nanti, skuad Seladang akan berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan untuk berhadapan dengan pasukan The Red Warrior (TRW).

Adakah Hadi Fayyadh bakal disenaraikan sekali lagi dalam kesebelasan utama pemain? dan yang paling penting tumpuan penyokong semestinya terarah kepada kelibat Alif Zikri untuk dia terus diserap masuk ke skuad senior dalam perlawanan akan datang.

Sama-sama kita nantikan perkembangan dari semasa ke semasa yang akan dimaklumkan oleh pengurusan pasukan Perak FC kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram