BARU-BARU ini, penyokong The Bos Gaurus (TBG) menerima berita sedikit mengecewakan selepas dua pemain import, Jesper Nyholm serta Luka Milunovic mengucapkan selamat tinggal kepada kelab berkenaan.
Perkhabaran itu diterima selepas kedua-dua mereka diturunkan ketika Perak FC tewas kepada Sri Pahang FC dalam pertembungan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium MP Temerloh, Pahang.
Kehilangan mereka sudah tentu dirasai, lebih-lebih lagi buat Jesper yang sudah bersama kelab Utara tanah air tersebut sejak pertengahan musim 2023 dengan gaya permainannya cukup menarik untuk ditonton.
BACA LAGI: Bukan setakat Krismas, Fandi Ahmad ada sebab keluarkan pengantin baharu ‘Hatrik Hidalgo’ lebih awal
Luahan dibuat Wan Zack selepas aksi menentang Sri Pahang FC di tempat lawan.
Tidak lama selepas itu, penyokong Perak FC dikejutkan pula apabila tonggak pasukan, Wan Zack Haikal Wan Noor memberikan mesej tersirat di Instastory peribadi mengenai situasinya bersama pasukan berkenaan.
"Dengan apa yang berlaku, semoga pengorbanan kalian semua diberikan ganjaran yang setimpal. Saya di sini akan berikan segalanya yang saya ada dan akan terus berjuang pasukan sehingga saya keluar dan tamatkan karier," tulisnya.
Meskipun seakan-akan menegaskan dirinya akan kekal lebih lama, peminat bola sepak berasakan pemain berusia 33 tahun itu bakal meninggalkan skuad TBG atas sebab yang pasti enggan didedahkan.
Sekiranya Wan Zack akan meninggalkan kelab berkenaan, terdapat tiga destinasi relevan buatnya yang sudah kembali ke tahap terbaik meskipun dirundung kecederaan serius beberapa tahun lalu.
1. Liga Thailand
Kebelakangan ini, perpindahan pemain tempatan ke Liga Thailand semakin rancak dengan Fergus Tierney dan Safawi Rasid menjadi dua bintang lokal terbaru yang berbuat demikian.
Ini membuktikan masing-masing sudah semakin berani untuk mencuba nasib di negara jiran kerana mahu keluar dari zon selesa dengan harapan kepulangan ke tanah air mampu membawa perubahan.
Wan Zack perlu mengambil langkah sedemikian memandangkan peluang beraksi dalam Liga Thai sukar untuk ditolak disebabkan tahap kompetitif mereka lebih baik berbanding Liga Super.
Safawi antara pemain lokal terbaru yang mencuba nasib di Liga Thailand. — Facebook/Ratcahburi FC
Pasukan di divisyen pertama seperti Ratchaburi FC dan Muangthong United boleh dianggap destinasi terbaik buat bekas pemain kebangsaan tersebut yang kini berada di kelompok pertengahan liga.
Dia juga sudah tentu terbuka untuk berkelana kerana sepanjang kariernya, dia pernah mencuba nasib di luar negara ketika menyertai pasukan Jepun, FC Ryukyu dan Zlate Moravce di Slovakia.
Usianya yang semakin lanjut juga bukanlah penghalang kerana sebelum ini, Norshahrul Idlan Talaha pernah berkelana ketika penghujung karier apabila menyertai BG Pathum United.
2. Penang FC
Melihat kepada gaya permainan Wan Zack ketika ini, terdapat kemungkinan besar dia hanya mahu kestabilan dengan memastikan tiada sebarang isu tunggakan gaji membelenggu seperti mana dialami majoriti kelab Liga Super hari ini.
Oleh itu, Penang FC boleh menjadi pilihan terbaik baginya kerana beberapa musim kebelakangan ini, tiada sebarang laporan mengatakan kebajikan pemain serta staf kejurulatihan tidak terjaga.
Peluang menandatangani pemain sayap itu juga pasti tidak akan ditolak kelab Utara tanah air tersebut kerana ketika ini, jentera serangan Harimau Kumbang cukup tumpul dengan hanya 15 gol dijaringkan.
Skuad Harimau Kumbang masih beraksi di bawah par setakat ini. — Facebook/Penang FC
Meskipun memiliki lambakan import di bahagian serangan, ketiadaan pemain berpengalaman dalam pasukan menyaksikan skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail itu kucar-kacir setiap kali berada di hadapan gawang.
Sekiranya Penang FC membuat tawaran, Wan Zack pasti tidak akan menolak peluang itu kerana dia akan beraksi untuk setidak-tidaknya dua musim sebelum menggantung but selepas bertahun-tahun bergelar pemain bola sepak.
3. Ceburi bidang kejurulatihan
Norma buat pemain bola sepak untuk bergelar jurulatih setiap kali sudah menamatkan karier memandangkan kerjaya itu membolehkan mereka kekal dalam dunia bola sepak meskipun tidak lagi bergiat aktif di atas padang.
Kesempatan itu juga sudah tentu diambil Wan Zack yang ketika ini difahamkan sudah mempunyai lesen kejurulatihan, namun masih belum berpeluang mengaplikasikannya secara praktikal.
Peluang menjadi pengendali pasukan pasti akan diambil pemain itu kerana dia memiliki kredibiliti sebagai seorang pemimpin memandangkan sudah berkali-kali diberi peranan sebagai kapten Perak FC.
Wan Zack memiliki kredibiliti sebagai pemimpin di atas padang. — Facebook/Perak FC
Selain itu, pendedahan diterima sepanjang berkelana ke luar negara memberikan dimensi berbeza mengenai pemahaman bola sepak kepada Wan Zack berbanding rakan sepasukannya yang tidak pernah berbuat demikian.
Jika langkah tersebut diambil, dia semestinya akan kekal bersama skuad TBG untuk menimba ilmu daripada Yusri Che Lah sebelum mengambil haluan berbeza dengan membimbing kelab-kelab amatur merupakan antara pilihan terbaik.
Bagaimanapun, ketika ini, Wan Zack boleh dikatakan masih berada di kemuncak kariernya dengan jumlah gol membuktikan perkara tersebut meskipun kebelakangan ini, dia lebih kerap diletakkan di bangku simpanan dan dimasukkan pada minit-minit akhir permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram