MANCHESTER City telah melengkapkan pembelian penyerang Mesir, Omar Marmoush daripada Eintracht Frankfurt bagi memperkuatkan jentera serangan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Pemain berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak selama empat setengah tahun bersama juara bertahan selepas perpindahan yang difahamkan bernilai GBP59.1 juta (RM325.05 juta) dengan tambahan sehingga GBP4.2 juta (RM23.1 juta) dalam bentuk insentif.
Marmoush merupakan seorang pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi serangan, sudah menjaringkan 37 gol dalam 67 perlawanan sejak menyertai Frankfurt pada musim panas 2023.
BACA LAGI: Senyap-senyap beli 'striker' baharu, Sabah FC ada kejutan musim depan?
BACA LAGI: Percaturan kerah peledak Brazil selamatkan air muka Sabah di Paroi
Dia memulakan kariernya bersama Wadi Degla dalam Liga Perdana Mesir sebelum berhijrah ke Jerman dengan Wolfsburg pada 2020 dan kemudiannya bermain untuk St Pauli serta Stuttgart.
Bersama skuad kebangsaan Mesir pula, pemain yang akan menyarung jersi bernombor tujuh bersama Man City itu telah mewakili Mesir sebanyak 35 kali dan menjaringkan enam gol untuk negaranya.
Kecemerlangannya yang berhasil memikat skuad kendalian Pep Guardiola itu membuatkan ramai pemain muda menjadikannya idola termasuk prospek kacukan Malaysia-Mesir Sabah FC, Amir Abada Tawfik.
Pemain yang kini beraksi bersama Sabah FC itu difahamkan menjadikan Marmoush sebagai motivasi untuk terus meningkatkan kualiti dan mencapai tahap tertinggi dalam karier bola sepaknya.
Amir Abada yang kali pertama dilihat bersama skuad The Rhinos pada penghujung musim 2022 kini merupakan tonggak pasukan Sabah FC Bawah 23 tahun bagi membantu Sang Badak dalam saingan Piala MFL.
Marmoush menyertai Man City daripada Eintracht Frankfurt.
Bekas pemain Selangor FC II itu sudah meletakkan sasaran buat dirinya untuk cuba menembusi skuad utama yang beraksi di Liga Super. Ia pasti satu momen yang ditunggu-tunggu penyokong The Rhinos.
'Ubi muda' yang kini berusia 22 tahun itu dipercayai mampu menjadi peledak utama Sang Badak di masa hadapan jika dia menerima kepercayaan untuk menyarung jersi skuad utama, walaupun sebagai pemain gantian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram