DARIPADA pekerja e-hailing kepada arkitek di atas padang, pemain tengah Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi membuktikan usaha tidak pernah mengkhianati hasil, lapor Stadium Astro.
Sebelum ini, dia hanya merupakan penghantar makanan tetapi kini mula menjadi tonggak harapan Ketua Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad.
Namun, ramai tidak tahu bahawa bekas rakan sepasukan Mukhairi Ajmal Mahadi itu tidak bermain bola selama tiga tahun sejak menamatkan pengajian di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Kota Tinggi, Johor.
BACA LAGI: Keputusan ref di Stadium Bandaraya kecewakan Selangor raih 3 mata
BACA LAGI: [VIDEO] Baddrol meriahkan majlis kahwin Rizal Ghazali, sempat singgah rai Sanusi sambut menantu
"Selepas habis persekolahan, saya sempat menyertai pemilihan tapi tidak dapat. Saya pun dah kecewa jadi pilih untuk bekerja dalam bidang lain.
"Tapi mengenangkan saya ada bakat dalam bola sepak, saya cuba dan Alhamdulillah rezeki saya di Sri Pahang.
"Emak yang mendorong saya agar menyertai pemilihan. Sejak tahun lalu lagi saya bersama skuad senior Sri Pahang, cuma lebih banyak minit permainan di skuad B-23.
"Akhirnya saya dapat bayar balik kepercayaan Fandi dan barisan kejurulatihan," katanya kepada pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam.
Pertahanan Sri Pahang, Ibrahim (kiri) memainkan peranan cukup penting dalam mengekang jentera serangan The City Boys.
Untuk rekod, Ibrahim sudah melakukan 16 penampilan musim ini termasuk ketika membantu Tok Gajah mengikat Kuala Lumpur City 1-1 di Stadium Temerloh pada Ahad.
Hasratnya kini adalah untuk membantu Tok Gajah mengukir sejarah kembali ke pentas final Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 2014.
"Kami memang sasar ke final, ini sahajalah peluang kami untuk musim ini memandangkan prestasi liga pula tidak menentu.
"Selangkah lagi ke final, kami mahu buat yang terbaik pada Ahad depan ini," katanya.
Sri Pahang akan menerima kunjungan Sang Badak dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia pada 2 Februari nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram