Bukan JDT, Sri Pahang-Sarawak-Kelantan sebenarnya 'pioneer' rekrut pemain warisan


  • Podium
  • Rabu, 22 Jan 2025

Harimau Selatan bukanlah kelab terawal mempercayai bakat warisan dalam saingan liga tanah air. — Facebook/JDT

REVOLUSI Harimau Malaya yang diterajui oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sudah mendedahkan sekurang-kurangnya tujuh pemain warisan telah dikenal pasti dan boleh memperkuatkan Harimau Malaya.

Beliau yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) turut mengharapkan kerajaan dapat membantu dalam urusan pasport bagi membolehkan kesemua pemain itu mewakili negara pada Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Usaha Tunku Ismail itu dalam membantu mencari pemain warisan untuk mewakili negara tidak dapat disangkal lagi dengan ia sudah berlaku sejak di awal kemunculan revolusi Harimau Selatan bermula.

BACA LAGI: Bergelut peringkat kumpulan, Safawi Rasid-Brendan Gan masih optimis TFC, KL City muncul semifinalis Piala Shopee

BACA LAGI: TFC pertaruh barisan terkuat hadapi PSM Makassar, Safawi-Azam Azmi disebut jadi sandaran utama

Jika disoroti, era JDT mula mempercayai bakat warisan ketika musim 2017 apabila Tunku Ismail membawa masuk Natxo Insa sebagai pemain lokal dan sehingga kini, pemain tengah itu masih mempamerkan nilainya.

Meskipun JDT merekrut banyak pemain kacukan seperti Corbin Ong, Daniel Ting, Sam Somerville, Nick Swirad dan lebih ramai lagi namun hakikatnya Harimau Selatan bukanlah kelab terawal mempercayai bakat warisan.

Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga kelab yang lebih awal mengesan dan mengembangkan bakat pemain warisan Malaysia;

1) Matthew Davies

matt davies

Matthew menyertai Sri Pahang daripada Perth Glory pada 2015. — Agensi

Bek kanan Malaysia-Australia, Matthew Davies semakin menyerlah bersama JDT selepas dia berhasil mencapai pelbagai trofi kejohanan domestik dan bahkan, dia juga menyinar dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bersama Harimau Selatan.

Sebelum sejarahnya bersama JDT bermula pada 2020, Matthew atau lebih mesra dengan panggilan Matt itu merupakan tonggak Pahang FA (kini Sri Pahang) selama lima musim berturut-turut.

Pertahanan kebangsaan Malaysia itu berpindah dari pasukan yang berpangkalan di A-League, Perth Glory untuk menjadi tonggak baharu Pahang bagi membantu mereka mengukuhkan posisi pertahanan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia.

Bukan hanya cemerlang sebagai bek kanan dan pernah membantu Pahang muncul juara Piala FA 2018, malah karisma yang dimiliki Matthew juga membuatkan dia diberi kepercayaan untuk menyarung lilitan kapten pada 2016.

2) Brendan Gan

brendan

Brendan pernah menabur bakti bersama Kelantan dari musim 2014 hingga 2016. — Agensi

Brendan Gan tiba di tanah air pada musim 2011 dengan status sebagai pemain import kepada Sabah FA namun empat tahun selepas itu, tonggak tengah berkenaan menjadi pemain Kelantan FA atas tiket naturalisasi pada pertengahan 2014.

Sebelum disahkan sebagai pemain lokal, hasrat Kelantan untuk menggunakan khidmatnya sebagai pemain tempatan hampir musnah apabila permohonan mereka tidak diluluskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2013.

Bagaimanapun, isu berkenaan selesai pada Mac 2014 selepas pemain kacukan Australia-Malaysia itu menyertai skuad The Red Warriors (TRW) pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Pemain yang kini menyarung jersi Kuala Lumpur (KL) City berkenaan menjadi antara tonggak tengah terbaik Kelantan namun juga terpaksa mengharungi dua kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) ketika bersama pasukan itu.

3) Junior Eldstal

junior

Junior (tengah) ketika bersama Sarawak. — Agensi

Pertahanan tengah JDT, Junior Eldstal sudah sembilan tahun berkhidmat bersama Harimau Selatan namun pemain warisan Malaysia-Sweden itu terlebih dahulu menyarung jersi Sarawak FA.

Pemain kebangsaan berkenaan mula menapak di tanah air pada 2013 menyertai Sarawak FA, sebelumnya dia merupakan pemain yang beraksi di Liga Amatur England bersama Slimbridge AFC.

Tiga tahun menjadi tonggak utama di bahagian pertahanan Sarawak FA membuatkan banyak kelab Liga Malaysia tertarik dengan kemahirannya dan akhirnya sah bergelar pemain JDT pada musim 2015.

Bersama JDT, menyaksikan pemain berusia 33 tahun itu berjaya merangkul juara Liga Super sebanyak tiga kali (2015, 2016, 2017, 2018, 2022), Piala FA (2016, 2022, 2024), Piala Malaysia (2017,2022) dan Piala AFC pada 2015. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram