REVOLUSI Harimau Malaya diteruskan apabila pada Khamis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan kehadiran Dr Craig Duncan yang merupakan ketua prestasi tinggi dan perubatan sukan kelahiran Sydney, Australia.
Melihat kepada kariernya setakat ini, pelantikan tersebut wajar dilakukan kerana rata-rata pemain skuad kebangsaan tidak berada dalam tahap kecergasan terbaik beberapa tahun kebelakangan ini.
Kemasukannya sekali gus membuktikan Harimau Malaya akan menagih kepakaran dari negara Ocenia berkenaan selepas Peter Cklamovski yang juga merupakan anak jati Australia diberikan mandat sebagai pengendali pasukan.
BACA LAGI: Naikkan ranking, atasi isu pemain enggan wakili negara antara 3 misi getir Cklamovski kendali HM
BACA LAGI: Lupakan Josh Brownhill, 3 warisan gred B termasuk 'keeper' muda JDT layak jadi pilihan Cklamovski
Sentuhan Cklamovski diharapkan membawa perubahan buat Harimau Malaya. — Agensi
Namun, usaha FAM untuk mengukuhkan lagi skuad kebangsaan masih belum mencapai titik noktah kerana badan induk bola sepak itu difahamkan sedang mencari pembantu jurulatih baharu.
Langkah diambil itu sememangnya perlu dilakukan segera kerana Cklamovski sudah tentu mahu membawa masuk 'orang kanan' yang mempunyai persefahaman baik dengannya selain berpengalaman.
Nama yang mula disebut-sebut ialah Mark Milligan yang baru-baru ini meninggalkan peranannya sebagai pembantu kepada Carl Veart di Adelaide United yang beraksi dalam liga Australia.
Menurut kenyataan dikeluarkan setakat ini, jurulatih berusia 39 tahun tersebut mahu melebarkan sayap kejurulatihannya ke luar negara selepas empat tahun menimba ilmu di sana.
Bagaimanapun, destinasi pilihannya masih belum diketahui kerana setakat ini, dia yang pernah beraksi buat beberapa kelab sekitar Asia masih belum cukup berpengalaman untuk menjadi pengendali tetap.
Cklamovski dan Milligan merupakan antara watak yang membantu Australia menjuarai Piala Asia 2015. — Agensi
Tetapi, terdapat ura-ura mengatakan Milligan akan bergabung dengan Cklamovski berdasarkan komen peminat bola sepak Australia, William Caldwell yang berkata sedemikian.
Meskipun ia bukanlah daripada sumber kukuh, luahan daripada penyokong tersebut sedikit sebanyak menceritakan bahawa Harimau Malaya dan FAM mula kembali dikenali berikutan rombakan mula dilakukan.
Kehadiran Milligan dalam skuad kebangsaan juga bukanlah sesuatu sukar diterima akal kerana ketika masih bergelar pemain, dia pernah bertugas di bawah pengendali baharu Harimau Malaya itu.
Ini ketika masing-masing mencatatkan sejarah bersama skuad kebangsaan Australia apabila menjuarai Piala Asia 2015 dengan Cklamovski ketika itu bertugas sebagai pembantu kepada ketua jurulatih, Ange Postecoglou.
Sekiranya Milligan dibawa masuk, ini sekali gus membuktikan badan induk bola sepak negara mula menyedari kepakaran luar boleh membawa dimensi baharu dalam arena sukan tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram