ERA kepimpinan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya terus dikenang sebagai tempoh gemilang yang menyemarakkan semangat bola sepak tanah air.
Sepanjang tempoh itu, pasukan kebangsaan bukan sahaja mencatat peningkatan prestasi, malah mencipta beberapa kenangan manis yang akan terus diingati oleh penyokong.
Bagaimanapun, selepas setahun setengah memikul peranan itu, jurulatih dari Korea Selatan tersebut melepaskan jawatannya pada Julai 2024 dengan posisi berkenaan kemudian diisi Peter Cklamovski baru-baru ini.
BACA LAGI: Boleh ganti Saddil, 3 sebab Sang Badak perlu sambar penyerang kacukan Norway-Filipina
Perubahan itu menandakan nafas baharu daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu kejayaan lebih membanggakan dilakar skuad kebangsaan pada tahun-tahun akan datang.
Melihat kepada rombakan dibuat organisasi itu, perbezaan akan disaksikan dalam masa terdekat kerana mereka yang dibawa masuk memiliki pengalaman cukup baik dalam karier masing-masing.
Namun, sekali pun Cklamovski serta nama-nama baharu tersebut membawa kejayaan, penyokong pasti sukar melupakan era Pan-gon memandangkan terdapat empat detik manis yang masih segar sehingga hari ini.
1. Capai cita-cita Piala Asia
Titik tolak kejayaan Pan-gon pastinya ketika beliau memastikan Malaysia buat pertama kali selepas 41 tahun layak secara merit ke pentas saingan Piala Asia 2023 di Qatar. —Facebook/FAM
Kali terakhir skuad kebangsaan berentap dalam Piala Asia adalah pada 2007 ketika mereka menjadi salah satu tuan rumah di samping beberapa negara Asia Tenggara lain.
Usaha Harimau Malaya pada tahun-tahun seterusnya berakhir dengan kekecewaan apabila pasukan itu gagal merealisasikan harapan layak ke pusingan berkenaan.
Bagaimanapun, pelantikan Pan-gon pada 2023 membuktikan FAM mempunyai cita-cita untuk menamatkan penantian tersebut dengan pengalamannya amat membanggakan.
Sasaran diletakkan itu berjaya dicapai selepas pengendali Harimau Malaya itu membantu 'menghantar' skuad kebangsaan ke Qatar berikutan rentetan keputusan membanggakan.
Meskipun gagal mencatatkan sebarang kemenangan di Timur Tengah, kejayaan menamatkan penantian tersebut masih menjadi mimpi indah buat penyokong tanah air.
2. Calar maruah Korea Selatan
Harimau Malaya mencipta sejarah dengan mengikat Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023. — Gambar/FIFA
Pada 25 Januari 2024, pasukan Harimau Malaya mencipta sejarah dengan mengikat Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Janoub itu menyaksikan Malaysia bangkit dari ketinggalan untuk menyamakan kedudukan melalui jaringan Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.
Walaupun Korea Selatan mendahului pada masa kecederaan, Romel Morales muncul sebagai wira dengan gol ketiga Malaysia pada minit ke-115, memastikan satu mata berharga untuk pasukan negara.
Meskipun mata dibawa pulang itu tidak membawa erti besar buat skuad kebangsaan dalam kempen tersebut, ia sememangnya sukar dilupakan kerana jurang kualiti kedua-dua pasukan amat besar.
3. Gol terbaik Faisal Halim
Faisal Halim melakar sejarahnya yang tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang gol terbaik kejohanan di Piala Asia 2023. — Agensi/FIFA
Jurulatih berasal dari Korea itu juga dikenang kerana banyak memberi peluang kepada pemain tempatan untuk bersinar di samping mereka yang dinaturalisasikan.
Antaranya, Faisal Halim yang telah melakar sejarahnya yang tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang gol terbaik kejohanan di Piala Asia 2023.
Jaringan pemain sayap negara, Faisal pada minit ke-51 ketika menentang Korea Selatan dinobatkan selaku gol terbaik kejohanan di Piala Asia 2023.
Jaringan ikonik daripada pemain berusia 26 tahun menerima 85 peratus undian itu diangkat selaku ‘Goal of the Tournament’ oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
4. Peningkatan ranking FIFA
Di bawah kendalian Pan-gon, skuad Harimau Malaya berjaya layak ke Piala Asia secara merit. — Facebook/FAM
Kejayaan melonjakkan Harimau Malaya naik 19 anak tangga daripada No. 154 dunia ke kedudukan 135 dunia boleh dianggap satu pencapaian luar biasa telah dilakar Pan-gon buat skuad bola sepak kebangsaan.
Bukan itu sahaja, Pan-gon hanya mengambil masa kira-kira lima bulan sejak dilantik pada 21 Januari 2022 untuk memastikan Harimau Malaya layak sejak merit ke pusingan akhir Piala Asia 2022.
Kejayaan Pan-gon bukan sahaja meningkatkan prestasi pasukan tetapi juga memberikan harapan baharu kepada peminat bola sepak di Malaysia mengenai masa depan sukan bola sepak di tanah air.
Walaupun era Pan-gon telah berakhir, legasi yang ditinggalkannya akan terus menjadi inspirasi. Harimau Malaya kini melangkah ke era baharu di bawah kendalian Peter Cklamovski, dengan harapan untuk meneruskan momentum kejayaan yang telah dibina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram