SELEPAS beberapa minggu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya mengumumkan kehadiran dua tulang belakang baharu skuad kebangsaan, Dr Craig Duncan serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend.
Kedua-dua individu itu dibawa masuk dengan harapan tinggi daripada penyokong, lebih-lebih lagi buat CEO baharu itu yang mempunyai pengalaman luas di Kanada dalam bidang pengurusan.
Selain berpengalaman membangunkan Pacific FC, Rob Friend turut memainkan peranan dalam memperkenalkan Liga Perdana Kanada selepas berjaya membawa masuk pelabur serta tenaga pakar diperlukan.
BACA LAGI: Tinggalkan kelab Australia, bekas anak didik Cklamovski akan bantu revolusi Harimau Malaya?
BACA LAGI: Naikkan ranking, atasi isu pemain enggan wakili negara antara 3 misi getir Cklamovski kendali HM
Cklamovski masih belum melaporkan diri selepas diumumkan pengendali baharu beberapa minggu lalu. — Agensi
Bagaimanapun, sesi pengenalan di Wisma FAM, Selangor pada Selasa itu menimbulkan persoalan kerana ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski tidak bersama kedua-dua figura baharu tersebut.
Sesetengah penyokong beranggapan pengendali dari Australia tersebut memiliki tugasan lain ketika ini iaitu menemui pemain warisan yang akan memperkuatkan Harimau Malaya dalam masa terdekat.
"Coach Peter mana ya? Tidak nampak pun di situ atau sedang bertemu pemain warisan di Eropah terlebih dahulu?" kata Dominic Toretto.
"Nampak ada sinar harapan daripada dua-dua rekrut baharu FAM ini. Cuma, tertanya-tanya, bila Cklamovski nak lapor diri pula? Nak tengok apa perubahan yang akan dia bawa dalam Harimau Malaya," kata Nabil Zamri.
"Kelibat Cklamovski masih tidak kelihatan. Adakah sedang melakukan persiapan atau ada buat lawatan ke Eropah untuk bertemu bakal pemain warisan? Sama-sama kita nantikan," kata Nurlaili Mansor.
Tunku Ismail melaporkan terdapat sekurang-kurangnya enam pemain warisan baharu.
Skuad kebangsaan dilaporkan bakal menerima enam atau tujuh pemain warisan baharu seperti mana dilaporkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan masing-masing sudah dikenal pasti.
Berdasarkan perkongsian, kesemua yang sudah 'dirisik' itu beraksi di Selatan Eropah, namun identiti sebenar mereka belum didedahkan, sekali gus membuatkan penyokong terus berteka-teki mengenainya.
Sekiranya proses kerakyatan dan dokumentasi diselesaikan dalam masa terdekat, masing-masing diharapkan dapat melaporkan diri sebelum aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac nanti.
Jika mereka yang berada dalam senarai sudah dikenal pasti, Cklamovski serta beberapa individu tertinggi FAM sudah tentu akan menilai pemain itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram