LEGENDA Manchester United, Denis Law meninggal dunia pada usia 84 tahun.
Berita duka tersebut diumumkan oleh ahli keluarganya dan kelab Liga Perdana Inggeris itu di laman media sosial rasmi, lapor FOTMOB.
"Dengan hati yang berat, kami ingin memaklumkan bahawa bapa kami, Denis Law, telah meninggal dunia. Beliau telah berjuang dengan penuh kesabaran namun kini sudah berada dalam keadaan yang penuh kedamaian.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan penjagaannya.
"Kami tahu betapa ramai orang yang menyokong dan menyayangi beliau dan kasih sayang itu sentiasa dihargai dan memberikan perbezaan,” kata kenyataan keluarga yang dikongsikan oleh United.
BACA LAGI: [VIDEO] Jodoh terlerai sudah, didenda RM15,000 antara 3 momen paling diingati Akhyar bersama JDT
BACA LAGI: Usia sudah lanjut, 3 import Liga Super 'diperam' dalam skuad Piala MFL
Penyerang berbisa Man United, Denis Law.
Law memulakan kerjayanya di Huddersfield Town dan mencipta nama bersama The Red Devils selama 11 tahun, memenangi dua gelaran liga (1965, 1967) dan Piala Eropah 1968.
Sebagai rekod, Law telah menjaringkan 237 gol dalam 404 penampilan untuk kelab tersebut, menjadikannya sebagai penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah kelab, di belakang Wayne Rooney (253) dan Bobby Charlton (249).
Digelar ‘The King’, Law merupakan satu-satunya pemain Scotland yang memenangi Ballon d’Or dan Anugerah Pemain Terbaik Eropah pada 1964.
Law kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman bagi Scotland dengan 30 gol dalam 55 penampilan.
Pada 2021, Law menghidap penyakit Alzheimer dan demensia vaskular. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram