[VIDEO] 'Jangan nilai awal', ekor HM tak pertikai cita-cita ke Piala Dunia, beri ruang Rob Friend jalankan tugasan


  • Podium
  • Rabu, 15 Jan 2025

Kepakaran Rob Friend dalam menarik pelabur diharapkan mampu mengubah landskap bola sepak tanah air. — Facebook/FAM

ERA baharu Harimau Malaya akan bermula tidak lama lagi selepas dua individu baharu, Rob Friend serta Dr Craig Duncan melapor diri di Wisma FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Selangor pada Selasa.

Kedua-dua mereka sememangnya diharapkan dapat membawa impak besar terhadap skuad kebangsaan yang menunjukkan kemerosotan sejak kempen gagal dalam Piala Asia pada awal 2024.

Jadi, kehadiran dua ikon tersebut, lebih-lebih lagi Rob Friend perlu membawa perubahan besar seperti mana diharapkan penyokong yang sudah lama mendahagakan kejayaan di peringkat antarabangsa.

BACA LAGI: 'Tengok hasil baru komen', 'ekor' Harimau Malaya mahu tunggu dan lihat impak taktikal Rob Friend

BACA LAGI: Faham budaya bola Malaysia cabaran terbesar Rob Friend majukan Harimau Malaya

Harapan itu didengari ahli perniagaan kelahiran Kanada tersebut apabila pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya berkenaan secara terbuka menegaskan terdapat cita-cita besar untuk membawa skuad kebangsaan ke Piala Dunia.

“Kita perlu merangka strategi untuk membina kejayaan jangka panjang. Saya tidak berada di sini untuk kejayaan jangka pendek. Saya di sini adalah untuk membina model jangka panjang buat pasukan kebangsaan dan itu mengambil masa.

“Kita perlu mengenal pasti beberapa permasalahan dan dengan visi Tunku Mahkota Ismail untuk menjadi lebih baik, harapnya Malaysia dapat melangkah ke Piala Dunia kerana itu cita-cita saya," katanya.

Meskipun sasaran berkenaan sukar untuk direalisasikan, misi diletakkannya membuktikan pengasas Pacific FC itu mahu meninggalkan legasi besar buat skuad kebangsaan.

WhatsApp Image 2025-01-15 at 9.28.11 PM

Cita-cita ke Piala Dunia sememangnya agak sukar untuk direalisasikan.

Pandangan dikongsikan Rob Friend itu menerima respons positif daripada penyokong yang beranggapan cita-cita ditetapkan tersebut mampu dicapai sekiranya semua pihak bersatu demi pasukan negara.

"Tak perlu tonton video penuh untuk fahami keterangannya yang panjang lebar. Sesungguhnya, daripada hantaran ini sudah nampak bahawa dia sebagai CEO yang bersemangat untuk menaikkan kembali era bola sepak negara.

"Kalau beginilah caranya, peminat setia sudah pasti terharu dan berasa sebak kerana sudah lama tidak menikmati kejayaan daripada Harimau Malaya," kata Riff Angler.

"Harap harimau yang sudah lama tidur dikejutkan kembali, kita perlukan Harimau Malaya yang terbaik dalam semua aspek. Ayuh tuan CEO, lakukan yang terbaik untuk Malaysia. Kami menyokong anda!" kata Apit Malaya.

1624206

Penyokong terus mendahagakan kejayaan Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

"Kita beri dahulu ruang dan peluang. Kita sebagai penyokong, jangan tahu kecam dari awal sahaja. Kita beri tempoh masa, sampai waktunya, kita nilai," kata Mohammad Nazmi Mohd Nordin

Rob Friend sememangnya dikenali dalam landskap bola sepak Amerika Utara kerana pada 2017, dia merupakan salah seorang yang mencetuskan idea bagi penubuhan Liga Perdana Kanada.

Selain itu, bekas pemain LA Galaxy tersebut merupakan seorang jutawan yang sudah tentu memiliki kepakaran dalam menarik pelbagai pelaburan demi kebaikan arena bola sepak negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram