PEMAIN Kuala Lumpur (KL) City FC, Kenny Palraj mengetepikan faktor keletihan dalam misi memburu kemenangan dalam pertembungan seteru setempat Lembah Klang dengan Selangor FC pada Ahad, lapor MFL.
Menurut pemain berusia 31 tahun itu, meskipun pasukannya berdepan jadual perlawanan yang agak padat, namun ianya tidak menjejaskan semangat mereka untuk mempamerkan aksi terbaik dalam saingan Liga Super apabila bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor nanti.
Skuad bimbingan Miroslav Kuljanac itu baru sahaja mengharungi kejohanan Piala Shopee di Singapura yang menyaksikan mereka tewas 0-2 kepada kelab Lion City Sailors pada Khamis lepas.
BACA LAGI: Penyakit sama berulang, bek Sabah sekali lagi buat kesilapan tak masuk akal
The City Boys terpaksa menelan pahit apabila tewas 0-2 kepada Lion City Sailors dalam saingan Piala Shopee. — Facebook/KLCity
"Bagi saya, jadual kami memang padat dan risau dengan keadaan pemain kerana baru sahaja balik daripada perlawanan Piała Shopee. Namun kita sudah bersedia segalanya sebelum perlawanan itu kerana kita sedar hanya tinggal sehari untuk berlatih sebelum bertemu Selangor FC.
"Kita akan bagi yang terbaik dalam aksi di MBPJ kerana saya juga menjangkakan satu permainan terbaik daripada pasukan. Bukan hanya dengan Selangor kita mahu menang, namun semua perlawanan yang kita turun, kita inginkan kemenangan.
"Mahu atau tidak, kita kena ketepikan kepenatan untuk tempuh perlawanan esok. Mana-mana pemain akan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan akan datang dan tidak memikirkan soal penat lelah daripada perlawanan sebelum ini, demi mendapatkan tiga mata penuh," ujar Kenny.
Untuk rekod, pertemuan terakhir antara KL City FC dan Selangor FC adalah pada 14 Julai lalu dalam aksi Liga Super sekali gus menyaksikan The City Boys berjaya menundukkan skuad Gergasi Merah dengan keputusan menang tipis 1-0.
KL City FC kini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan 17 mata berjaya diraih daripada 15 perlawanan keseluruhan, manakala Selangor FC pula gah di kedudukan kedua carta, dengan catatan 35 mata daripada kesemua 16 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram