Bumbung Axiata bocor lagi, Naraoka terpaksa 'ambil nafas' sebelum tundukkan Popov


  • Podium
  • Rabu, 08 Jan 2025

Naraoka hanya memerlukan dua set perlawanan untuk berhasil menewaskan pemain di tangga ke-25 dunia berkenaan.

KEJADIAN malang berulang di Axiata Arena, Kuala Lumpur apabila bumbung venu itu bocor sekali lagi, mengakibatkan gangguan berlaku sebelum perlawanan antara pemain badminton Jepun, Kodai Naraoka dan lawannya, Christo Popov dari Perancis.

Perlawanan yang berlangsung dalam Terbuka Malaysia pada Rabu itu terpaksa dilewatkan beberapa minit apabila dikesan terdapat air menitis turun ke gelanggang dua hingga menyukarkan keadaan untuk memulakan aksi.

"Perlawanan di gelanggang dua dihentikan sementara disebabkan air masih lagi menitis di gelanggang dua," kata penyokong badminton tanah air, Ah Boy Badminton Main Page pada Rabu.

BACA LAGI: Terbuka Malaysia bermula meriah walaupun kurang seri tanpa kehadiran Lee Zii Jia

BACA LAGI: Terbuka Malaysia: Cemerlang di set kedua tak cukup, Jun Hao terpaksa pulang awal

Selepas rehat seketika dan keadaan dikawal, aksi dimulakan dan menyaksikan wakil dari Jepun itu hanya memerlukan dua set perlawanan untuk berhasil menewaskan pemain di tangga ke-25 dunia berkenaan.

Set pertama menyaksikan Naraoka yang berada pada kedudukan ke-8 dunia itu terpaksa bermandi peluh untuk menang 23-21 pada set pertama dan dengan mudahnya meraih mata 21-9 pada set kedua perlawanan.

Kejadian bumbung bocor itu kali kedua berlaku dalam Terbuka Malaysia 2025 ini apabila pada aksi hari pertama (Selasa) turut terganggu selepas insiden sama tejadi semasa acara sebelah petang.

Kejadian itu berlaku mengakibatkan aksi di gelanggang dua melibatkan wakil Malaysia, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dengan pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian terganggu.

semalam

Pembantu stadium cuba menutup bahagian gelanggang yang terkesan air bocor dari bumbung Axiata Arena pada kejadian Selasa.

Selepas gangguan berkenaan, beregu China yang baru digandingkan, Yi Fan-Shu Xian jelas menunjukkan penguasaan penuh dalam perlawanan itu untuk menang 21-17, 21-10 dan menewaskan Pei Kee-Mei Xing dalam masa 38 minit.

Susulan kejadian pada hari pertama Terbuka Malaysia itu, pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tampil memohon maaf dan mengesahkan kebocoran pada bumbung itu berlaku akibat proses penggantian bumbung lama yang bermula sejak pertengahan tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM Iliyas Jamil berkata, PSM dengan kerjasama kontraktor segera melaksanakan usaha mengalirkan air ke tempat lain bermula pukul 4.30 petang dan gelanggang boleh digunakan semula pada 8.00 malam.

Menurutnya menerusi kenyataan pada Rabu, PSM dan kontraktor akan menyediakan lebih 10 kakitangan untuk bersedia di bumbung pada sepanjang kejohanan bagi memastikan kejadian itu tidak berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram