PERTEMUAN mendebarkan Piala MFL minggu ini menyaksikan dua pasukan teratas, Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan Selangor FC II bertemu di Stadium Larkin, Johor pada Isnin.
Tiga mata sememangnya dimahukan kedua-dua pasukan dengan tuan rumah memerlukannya bagi menggandakan kelebihan dalam carta sementara skuad Gergasi Merah perlu mencatatkan kemenangan bagi merebut kedudukan teratas.
Jadi, tidak hairanlah apabila melihat kesebelasan utama yang dipilih, kedua-dua pasukan menaruhkan harapan besar kepada barisan pemain terbaik demi membawa pulang mata maksimum.
BACA LAGI: Dapat 'task' penyerang sayap di JDT II, Stuart ambil masa 'adapt' jadi pemain nombor 8
BACA LAGI: Lebihkan negara berbanding kelab faktor 'ubi muda' JDT dibuang pasukan?
Romel menyudahkan sepakan penalti untuk mengikat kedudukan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, apa yang mengejutkan adalah ketika mana skuad Harimau Selatan menurunkan dua bintang daripada pasukan utama, iaitu Shane Lowry dan Romel Morales bagi pertembungan penting itu.
Meskipun Selangor FC turut mengambil keputusan sama dengan meletakkan Alex Agyarkwa dan Zikri Khalili, pendekatan diambil JDT II sedikit mengejutkan kerana kedua-dua pemain tersebut terlalu berusia dalam skuad Piala MFL.
Malah, kehadiran Romel dan Shane Lowry tidak menghadiahkan hasil seperti mana diharapkan kerana mereka dibolosi lebih awal apabila Haykal Danish meletakkan skuad Gergasi Merah di hadapan pada minit ke-53 permainan.
JDT II bagaimanapun berjaya mengelak daripada kempunan di laman sendiri apabila pada penghujung permainan, Romel mengikat kedudukan selepas berjaya menyudahkan sepakan penalti.
Keputusan itu sekali gus membuatkan penyokong bola sepak tempatan membanjiri ruangan komen kerana masing-masing beranggapan tuan rumah memerlukan peluang sebegitu untuk membawa pulang satu mata.
JDT II dan Selangor FC II hanya dibezakan dengan satu mata. — Facebook/MFL
"Payah juga nampaknya Romel untuk menjaringkan gol berdepan Selangor FC II sehingga perlu mendapatkan sepakan penalti. Apa punya tahap dia ni?" kata Emy Albatrisyia.
"Turunkan pemain import pun tak boleh kalahkan Selangor juga ke? Lebih memedihkan lagi, sampai terpaksa mengharapkan penalti," kata Danish Haziq Ismail.
"Alahai, lawan Selangor FC II dalam Piala MFL sahaja pun, itu pun mahu menurunkan pemain kebangsaan dan import? Pada hujungnya, hanya dapat gol dengan sepakan penalti," kata Wawan Darla.
Ketika ini, JDT II dan skuad muda Gergasi Merah hanya dibezakan dengan satu mata, namun kelebihan berpihak kepada kelab Lembah Klang itu yang kurang beraksi dalam satu perlawanan.
Sekiranya kelebihan itu berjaya dimanfaatkan, Selangor FC II berpotensi memintas kedudukan dalam carta Piala MFL dengan aksi konsisten memasuki baki musim boleh memastikan kejuaraan berpihak kepada mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram