Tahun Baru, harapan baru: Jurulatih harapkan ekosistem bola sepak lebih baik


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Selasa, 31 Dis 2024

Beberapa jurulatih yang ditemu bual berharap ada sinar lebih terang buat pasukan-pasukan pada 2025.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

APAKAH kedatangan 2025 esok menjanjikan senario lebih baik buat pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia? Kecuali hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengancam untuk menyapu bersih semua kejuaraan domestik sekali lagi, apakah pasukan-pasukan pesaing – lebih tepat lagi pengiring – mampu meningkat?

Apakah masalah tunggakan gaji akan membelenggu semakin kurang pasukan atau apakah ia akan menjadi virus menjangkiti lebih banyak kelab yang bergelut dengan peningkatan kos dari tahun ke tahun?

Sekurang-kurangnya enam pasukan dilaporkan berdepan masalah tunggakan gaji, dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC – pasukan di tangga keempat musim lalu tetapi menjunam ke tangga kesembilan ketika ini – terhutang hingga sembilan bulan gaji.

BACA LAGI: Cemerlang di Bukit Jalil, ramai tak sangka gaji bintang Singapura pernah serendah pemain Piala MFL

BACA LAGI: Maniam mula congak keutamaan demi pastikan PDRM capai kedudukan terbaik

“Wow sembilan bulan! Tak dapat nak bayangkan bagaimana sukarnya untuk pemain-pemain teruskan cabaran,” kata seorang jurulatih kelab pesaing yang pasukannya sendiri turut tertunggak sehingga empat bulan gaji.

“Dibandingkan dengan mereka, kami tidaklah terlalu teruk tapi ia tetap menjejaskan penumpuan pemain dalam latihan dan perlawanan,” tambahnya.

Beberapa jurulatih yang ditemu bual berharap ada sinar lebih terang buat pasukan-pasukan pada 2025, sama ada untuk baki musim 2024/2025 sehingga penghujung April atau musim baharu 2025/2026 yang belum diputuskan tarikh mulanya.

Mereka mengharapkan keadaan tidak akan bertambah meruncing hingga timbul gembar-gembur sehingga empat pasukan mungkin menarik diri daripada liga musim depan.

“Sempena Tahun Baru ini, saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua pasukan yang bertanding. Juga terima kasih kepada semua pengurusan, jurulatih dan pemain kerana dapat hidupkan suasana pertandingan yang mencabar.

“Harap-harap mutu pertandingan dapat terus dipertingkatkan pada tahun 2025 ini demi bola sepak Malaysia,” kata ketua jurulatih PDRM FC, P. Maniam.

maniam

Pengendali The Cops, P. Maniam. — Facebook/MFL

Jadual yang kelam-kabut dengan terlalu banyak pemberhentian, tidak termasuk kalendar antarabangsa FIFA, turut menjadi rungutan jurulatih hingga menjejaskan momentum pasukan.

Di sebalik tempoh liga lebih panjang dengan melangkaui tahun, sesetengah mereka menarik perhatian kepada jadual sekurang-kurangnya satu perlawanan dalam bulan Ramadan di antara 28 Feb hingga 30 Mac depan yang sepatutnya dapat dihindarkan.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku pentadbir liga dituntut agar lebih peka dalam susunan jadualnya agar tiada pasukan yang mendapat rehat terlalu lama hingga pemain-pemain “lemau” dalam menantikan perlawanan berikutnya.

Dalam pada mengharapkan keadaan akan lebih baik, jurulatih lebih cenderung menantikan kedatangan 2025 dengan mengharapkan peningkatan pasukan masing-masing dalam aksi yang masih berbaki.

badrul

Ketua jurulatih interim Terengganu FC, Badrul Afzan. — Facebook/TFC

“Liga musim ini dikira sehingga April 2025, jadi baki liga masih panjang, seterusnya untuk Piala Malaysia dan Piala Shopee, jadi harapan saya semestinya mendapatkan kedudukan terbaik bagi Liga Super Malaysia.

“Untuk Piala Malaysia pula, kami akan cuba sedaya-upaya demi pasukan Terengganu FC dan sentiasa berusaha keras walaupun kami menghadapi pasukan terkuat liga.

“Seterusnya bagi Piala Shopee, kami masih mempunyai ruang untuk ke peringkat seterusnya jika mendapat tiga mata di Myanmar,” kata ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, melalui pesanan WhatsApp.

Jadual Terengganu FC akan bermula dengan kunjungan ke gelanggang Shan United di Myanmar untuk aksi Piala Shopee pada 8 Januari, disusuli aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Kuala Terengganu pada 17 Januari. Berselang lima hari, mereka akan ke gelanggang PSM Makassar pada 22 Januari.

Sekembali dari Sulawesi Selatan, mereka akan menjadi tuan rumah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi Liga Super pada 25 Januari. Berjarak seminggu kemudian, mereka akan berdepan semula dengan Harimau Selatan untuk separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 1 Februari.

fandi

Pengendali skuad Tok Gajah, Fandi. — Facebook/SriPahang

“Saya mahu lihat pasukan PDRM yang baharu, yang lebih berkesungguhan dan mempamerkan kerjasama sepasukan yang lebih baik.

“Berbaki lapan perlawanan lagi dalam liga selain aksi separuh akhir Piala Cabaran yang menanti, saya menuntut standard lebih tinggi daripada pemain-pemain. Sebagai jurulatih, saya mengharapkan kesudahan terbaik buat kami,” kata Maniam, yang pasukannya kini di tangga kelima liga dengan 21 mata, cuma tiga mata di belakang Terengganu FC.

“Sudah tentu kami berharap untuk berada di kedudukan lebih baik,” kata ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, melalui pesanan WhatsApp merujuk kepada kedudukan pasukannya di tangga ke-10 tetapi memiliki dua perlawanan dalam tangan.

Berbanding tempat kelima musim lalu, Sri Pahang FC adalah antara pasukan yang menyaksikan kejatuhan lima anak tangga – sama seperti KDA FC yang merosot dari tangga keempat musim lalu ke tangga kesembilan ketika ini.

YCL

Ketua jurulatih Perak FC, Yusri. — Facebook/PerakFC

“Moga-moga tahun baru ini membawa lebih kejayaan dan kegembiraan,” tambah Fandi yang pasukannya akan turut berhadapan dengan Sabah FC dalam separuh akhir Piala Malaysia di Kota Kinabalu pada 18 Januari dan aksi timbal balik pada 2 Februari.

Tidak sekadar mahu melihat Perak FC meningkat dari tangga ketujuh liga, ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah, mahukan lebih lagi.

“Harapan saya masih sama, iaitu inginkan kejayaan buat pasukan dengan apa yang ada,” katanya merujuk kepada ketiadaan tiga pemain import – Lee Tae-min, Luka Milunovic dan Jesper Nyholm – yang sudah meninggalkan pasukan.

“Saya juga ingin melihat ada pemain-pemain Perak jika ada peluang masuk ke pasukan kebangsaan, tak kira skuad B-23 atau Harimau Malaya selepas (penjaga gol) Haziq Nadzli satu-satunya yang terpilih (dalam Piala AMEC berakhir 20 Disember lalu),” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram