Lebihkan negara berbanding kelab faktor 'ubi muda' JDT dibuang pasukan?


  • Podium
  • Selasa, 10 Dis 2024

Kontrak Tierney (dua dari kanan) ditamatkan kerana penyerang itu lebih memilih mewakili Malaysia daripada Chonburi FC. — Facebook/FAM

AKSI pembukaan Piala Asean 2024 (Piala AFF) Harimau Malaya dibuka dengan kurang meyakinkan apabila sekadar keputusan seri 2-2 menentang Kemboja Kumpulan A di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh, Phnom Penh, Kemboja pada Ahad.

Skuad Harimau Malaya membuka jaringan pada minit ke-35 menerusi pemain Sabah FC, Stuart Wilkin dan gol pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Fergus Tierney akhrinya membantu skuad kebangsaan mendapatkan satu mata selepas ketinggalan 2-1 di tangan Kemboja.

Tierney yang dijulang wira oleh penyokong bola sepak kebangsaan itu bagaimanapun menerima berita sedih apabila dilepaskan oleh kelab Thailand, Chonburi FC selepas pasukan itu menamatkan kontrak pinjamannya daripada Harimau Selatan.

BACA LAGI: Dua bintang akan tiba? TMJ cadang Bergson, Hidalgo penyelesaian peledak Harimau Malaya

BACA LAGI: Dikerjakan Thailand 0-10 jadi 'signal', Timor Leste medan kebangkitan terbaik Harimau Malaya

Menurut perkongsian pemerhati sukan tanah air iaitu Fina Nasrom, kontrak Tierney ditamatkan kerana penyerang itu lebih memilih mewakili Malaysia ketika kejohanan Piala AFF yang berada di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Chonburi sedang bersaing dalam Thai League 2.

“Difahamkan penamatan kontrak Thierney bersama Chonburi FC disebabkan keputusan pemain itu meneruskan hasrat menyarung jersi Harimau Malaya di Piala Amec (Piala AFF) ketika liga 2 Thailand masih berjalan,” katanya.

Menguatkan lagi spekulasi berkenaan, satu kiriman daripada Talungballthai mendedahkan bahawa wartawan sukan terkenal negara Thailand iaitu Jay Waropat, turut mengakui ia berpunca daripada keinginannya mahu menyarung jersi kebangsaan.

Pemain berusia 21 tahun itu menyertai kelab Thailand berkenaan pada Julai lepas usai membantu JDT II muncul naib juara Piala MFL dan turut dipanggil menyertai skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23.

Sepanjang bersama Chonburi, Tierney diberi kepercayaan untuk tampil dalam 13 perlawanan Liga Thailand dan juga mencetak satu gol serta satu hantaran bantuan buat pasukan tersebut.

Selepas selesai tugasan negara untuk saingan Piala AFF, masa depan Tierney pastinya menjadi tanda tanya penyokong sama ada akan kembali bersama JDT atau dipinjamkan ke pasukan baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram