LAMBAKAN bakat tempatan, dicampur pula dengan kebanjiran bintang import menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa melepaskan beberapa pemain dalam dua jendela perpindahan musim ini.
Keputusan itu sememangnya tidak memberi kesan terhadap pasukan Selatan tanah air itu yang dalam landasan tepat untuk bergelar juara treble di peringkat domestik buat tahun ketiga berturut-turut.
Malah, langkah melepaskan pemain secara pinjaman kepada kelab-kelab Liga Super yang lain memberikan manfaat tersendiri kerana masing-masing meraih minit permainan memuaskan.
BACA LAGI: [VIDEO] Safee Sali 'benci' bek import Sang Penyu, akui JDT pernah alami kesukaran di Terengganu
BACA LAGI: Bintang futsal negara tinggalkan Selangor selepas 6 tahun, JDT disebut-sebut destinasi baharu
Pemergian pemain secara pinjaman tidak sama sekali menjejaskan musim skuad Sang Penyu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Peluang diberikan itu membantu mereka kembali ke tahap terbaik berbanding sepanjang bersama skuad Harimau Selatan, namun 'diperam' di bangku simpanan atau diturunkan pangkat ke pasukan belia.
Keyakinan ditonjolkan di atas padang turut membuatkan penyokong mula jatuh hati terhadap pemain pinjaman masing-masing sehingga ada yang tidak sanggup berpisah sekiranya tempoh dipersetujui tamat pada penghujung musim.
Jadi, dengan JDT masih memiliki lambakan bintang dalam pasukan, adalah lebih baik sekiranya mereka ini dilepaskan, terutamanya buat tiga pemain yang sudah kembali menyinar.
1. Akhyar Rashid
Kemasukan pemain sayap saban tahun membuatkan minit permainan Akhyar Rashid bersama JDT kian terhad sehingga menyaksikannya hanya mencatatkan 16 penampilan di peringkat domestik pada musim lalu.
Dalam usaha meraih peluang lebih kerap, pemain kelahiran Kedah terbabit mengambil keputusan berkelana ke Terengganu FC bagi kempen 2024/25 di samping Safawi Rasid yang juga kian dilupakan bersama skuad Harimau Selatan.
Penghijrahan itu jelas membuahkan hasil memberangsangkan kerana sepanjang berada di Pantai Timur, pemain sayap tersebut sudah menjadi tonggak pasukan, sama ada ketika berada di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner mahupun Badrul Afzan Razali.
Akhyar semakin tersenyum sepanjang 10 bulan bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Malah, melihat kepada perkongsian di media sosial, bintang Harimau Malaya itu juga seperti sudah menyesuaikan diri di bumi Darul Iman bersama rakan karib seperti Safawi dan Ismahil Akinade.
Jadi, sekiranya khidmatnya tidak lagi diperlukan di Selatan tanah air, JDT perlu terbuka untuk melepaskannya pada penghujung musim dengan harapan namanya akan semakin bersinar.
2. Danial Amier Norhisham
Dalam dua perpindahan musim ini sahaja, skuad bimbingan Hector Bidoglio sudah menandatangani enam pemain tengah meskipun pada tahun-tahun lalu, kekuatan mereka di posisi itu tidak pernah lumpuh.
Jadi, bagi memastikan tiada perebutan berlaku, JDT mengambil keputusan melepaskan mereka yang kurang meraih minit permainan dengan anak jati Kuala Lumpur (KL), Danial Amier Norhisham dilepaskan ke Kuching City FC.
Danial (depan) kini merupakan tonggak skuad The Cats. — Facebook/Kuching City FC
Keputusan itu dibuat kerana sejak 2022, pemain yang dikenali dengan gelaran 'Boy' tersebut tidak pernah memberikan impak ketara buat skuad Harimau Selatan sehingga menyaksikannya beraksi dalam Piala MFL.
Bagaimanapun, sejak berkelana ke Borneo tanah air, bekas tonggak Felda United itu sudah berjaya semula keyakinannya sehingga berjaya membantu pasukannya menduduki tangga keenam Liga Super selepas 14 perlawanan.
Sekiranya Danial mahu terus meraih minit permainan secara kerap, dia perlu berani meluahkan hasrat untuk kekal bersama skuad The Cats atau terpaksa akur di bangku simpanan JDT.
3. Daniel Ting
Perpindahan Daniel Ting dari KL City FC ke JDT pada 2022 tidak membuahkan hasil kerana sepanjang tempoh semusim di Selatan tanah air, dia kurang meraih peluang disebabkan keunggulan Corbin Ong di posisi bek kiri.
Bagi mengubah nasib dalam kariernya, pemain berusia 32 tahun itu kemudian mengambil keputusan menyertai Sabah FC pada 2023 secara pinjaman sebelum tempoh itu dilanjutkan bagi semusim lagi.
Daniel Ting sudah menghabiskan tempoh dua musim bersama skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Keputusan tersebut sememangnya sesuatu yang wajar dilakukan kerana sepanjang beraksi di kelab terbabit, Daniel Ting sudah diangkat sebagai antara pemain pertahanan sayap terbaik dalam negara.
Malah, berdasarkan statistik, pemain berdarah kacukan itu tidak pernah digugurkan dalam kesemua 15 perlawanan yang mengukuhkan lagi namanya dalam skuad Sang Badak.
Menyedari kehadirannya semakin dihargai, Daniel pasti akan terbuka untuk kekal di Borneo tanah air, lebih-lebih lagi dengan JDT memiliki Murilo Henrique, Corbin Ong serta Declan Lambert yang merupakan bek kiri pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram