NASIB malang terus melanda Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila tiga pemainnya iaitu Cleylton Santos, Sukhrob Nurullaev serta Faiz Nasir meninggalkan kelab itu pada Jumaat.
Pemergian tersebut menyaksikan skuad Sang Kenari hanya memiliki dua penyerang import, Ebenezer Assifuah dan Milos Gordic bagi mengharungi baki musim 2024/25 yang menyulitkan lagi keadaan.
Berita mengecewakan itu sekali gus menimbulkan persepsi daripada orang ramai, termasuk dalam kalangan penyokong Hijau Kuning yang beranggapan adalah lebih baik sekiranya pihak pengurusan membubarkan pasukan.
BACA LAGI: 'Kedah ada bos baharu?', 2 calon sesuai jika benar Daud Bakar tidak lagi bersama KDA
BACA LAGI: Syarikat berpotensi 'sponsor' Kedah bakal adakan pertemuan 4 mata bersama Daud Bakar
Cleylton merupakan salah seorang pemain yang meninggalkan skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Desakan tersebut diajukan kepada pemilik pasukan, Tan Sri Mohd Daud Bakar kerana tindakannya mengunci mulut sukar diterima dengan pelbagai isu terus membelenggu kelab tanah air terbabit.
Menyedari respons kurang senang, usahawa kelahiran Kedah itu akhirnya tampil memberi kenyataan mengatakan idea pembubaran itu pernah terlintas pada awal tahun lalu, namun ditarik semula.
"Sebenarnya, saya telah diminta dan dinasihatkan membubarkan KDA FC sejak Januari 2024. Namun, saya memilih untuk 'cuba' meneruskan perjuangan KDA FC kerana ia adalah legasi semua sebagai rakyat Kedah.
"Mana mungkin saya menyerah kalah sebelum saya berusaha terlebih dahulu dan Alhamdulillah, saya berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji musim 2023 pada awal April 2024 dan kelab dibenarkan bertanding bagi musim baharu 2024/2025," tulisnya.
Dalam kenyataan sama, Daud Bakar sempat menegaskan pemergian beberapa pemain adalah kerana masing-masing menerima tawaran lebih baik dengan tiada kudrat bagi pihak pengurusan menghalang penghijrahan itu.
Selain tiga yang dinyatakan di atas, beberapa tonggak Sang Kenari juga sudah berbuat demikian, iaitu Sony Norde, Habib Haroon, Irfan Zakaria, Fikri Che Soh serta Kalamullah Al-Hafiz.
Kehilangan kesemua mereka menyukarkan KDA FC memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super yang diburukkan lagi dengan tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mengenakan pemotongan mata awal musim lalu.
Dalam pada itu, Daud Bakar turut sempat menyeru penyokong kelab itu untuk bersama-sama membantu di samping menegaskan dia akan menggembleng usaha demi kelangsungan pasukan.
"Bagi pihak saya, saya akan terus berusaha mencari jalan dalam mencari dana untuk menjelaskan apa yang tertunggak kepada semua mereka yang berjasa dan yang masih mampu bermain dalam serba kekurangan. Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab saya.
"Kalau anda ingin membantu, sila hubungi kami. Kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama, dana serta sokongan yang mampu membantu KDA FC untuk terus berjuang demi maruah bola sepak negeri Kedah," tulisnya.
Luahan itu diterima baik penyokong skuad Sang Kenari dengan ada daripadanya berminat untuk membuat kutipan sumbangan bagi mengurangkan beban dialami pemain dan kakitangan pasukan.
Penyokong Hijau Kuning mahu memberi bantuan demi skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
"Buat tabung sumbangan peminat. Setiap penyumbang dapat baju atau cenderamata daripada KDA FC. Bukan jualan, tapi sumbangan," kata Muhammad MN II.
"Boleh buka satu tabung. Saya percaya, bukan sahaja dalam kalangan rakyat Kedah sahaja yang bantu, seluruh Malaysia yang mempunyai semangat kesukanan dan kenegaraan akan membantu," kata Fadry G Oyuh.
"Kalau Tan Sri buka tabung sumbangan daripada rakyat Kedah atau perantau boleh tak? Jika seorang sumbang RM10, dah mampu dah tu. Bukankah bola sepak ini sukan rakyat dan kami rakyat Kedah," kata Fatihi Yusoff.
Sebelum ini, beberapa pasukan yang mengalami masalah gaji, termasuk Perak turut mengambil langkah sedemikian dengan jumlah kutipan mencecah belasan ribu ringgit yang sedikit sebanyak mengurangkan beban dialami.
Melihat kepada respons diberikan penyokong KDA FC, usaha sedemikian pasti dapat meringankan isu dialami pemain yang dilaporkan tidak menerima bayaran sejak awal musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram