Baru keluar Kedah, Cleylton sudah dipinang Kim Swee dan 1 lagi kelab Indonesia


  • Podium
  • Sabtu, 04 Jan 2025

Kali terakhir Cleylton (kanan) beraksi buat KDA FC adalah ketika membantu Sang Kenari menewaskan Kuala Lumpur Rovers untuk mara ke separuh akhir MFL Challenge Cup 2024. — Facebook/KDAFC

BEKAS pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Cleylton Santos telah meninggalkan bumi Malaysia dan dikhabarkan bakal mengembangkan karier bola sepaknya ke Indonesia.

Khabar angin itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam yang mendedahkan bahawa tonggak Sang Kenari itu kini berada dalam radar dua kelab Indonesia.

"Cleylton Santos ke Liga Indonesia, difahamkan bakal bergabung dengan Datuk Ong Kim Swee di Persis Solo atau ke Madura United selepas secara rasmi tinggalkan Kedah Darul Aman bersama dua lagi pemain Sukhrob Nurulloev dan Faiz Nasir," katanya di laman X.

BACA LAGI: Jumlah gol tak teruk, tapi bintang import JDT, Selangor, TFC masih gagal curi hati fans

BACA LAGI: 'Sepatutnya ref bagi kad kuning sebagai amaran tapi saya reda', tegas bintang sensasi jelita The Rhinos

WhatsApp Image 2025-01-04 at 10.47.36

Cleylton sah meninggalkan Sang Kenari selepas mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak.

Persis Solo ketika ini dilatih oleh bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee selepas meninggalkan Sabah FC.

Sekiranya Cleylton memilih untuk menyertai Persis, pasti keputusan itu akan menggembirakan ramai penyokong tanah air kerana dia bakal bergabung dengan bekas pengendali Sabah FC itu.

Kedua-dua kelab itu pastinya melihat kehadiran bekas pemain pertahanan Al-Khaldiya itu mampu menjadikan benteng pertahanan mereka lebih ampuh.

Saingan Liga 1 menyaksikan Persis dan Madura masing-masing dibolosi sebanyak 26 dan 38 kali selepas 17 perlawanan liga.

Media sebelum ini melaporkan bek tengah berusia 31 tahun itu menjadi sebahagian daripada tiga pemain terbaru yang meninggalkan Sang Kenari.

Selain Cleylton, Sukhrob Nurulloev dan Faiz Nasir turut memilih meninggalkan Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram