Selesai berkelana di negara orang, 3 pemain muda boleh kembali gegarkan Liga M di 2025


  • Podium
  • Rabu, 01 Jan 2025

Tierney hanya bertahan enam bulan bersama Chonburi FC. — Instagram/Tierney

TAHUN 2024 memberi pelbagai kenangan manis dan pahit buat penyokong bola sepak domestik misalnya kejayaan melihat skuad kebangsaan mengikat Korea Selatan di Piala Asia dan ada juga kisah 'ubi muda' mendapat peluang beraksi di saingan luar negara.

Meskipun peratusan pemain muda mendapat peluang beraksi di pasaran luar negara tidak besar namun untuk melihat bakat dari negara kerdil seperti Malaysia mendapat kesempatan berkenaan pastinya cukup membanggakan.

Mendapat pengalaman beraksi di saingan luar negara merupakan satu peluang yang jarang berlaku buat 'ubi muda' tanah air dengan ia akan membantu meningkatkan kemahiran mereka sebagai pemain bola sepak.

BACA LAGI: 'Bukan doktor yang tiada pencapaian', TMJ beri nafas baharu dalam sistem perubatan Harimau Malaya

BACA LAGI: 'Saya bukan warganegara Malaysia', kapten Burnley nafi sertai Harimau Malaya

Tahun ini antara nama yang berbuat demikian termasuklah Fergus Tierney dan Muhammad Abu Khalil selain prospek bola sepak wanita iaitu Qaseh Rania dan pastinya Luqman Hakim Shamsudin yang sudah berkelana di luar negara sejak 2020.

Bagaimanapun, jodoh mereka dengan kelab masing-masing tidak bertahan lama apabila ada di antara mereka sudah digugurkan pasukan dan terdapat juga yang sedang menunggu kontrak tamat.

Oleh itu, 2025 bakal menjadi tahun kepulangan beberapa pemain muda tanah air dan dijangka kehadiran mereka akan lebih mewarnai dan pastinya menggegarkan Liga Malaysia (Liga M).

1) Luqman Hakim

abu

Luqman Hakim akan meninggalkan Yokohama sejurus selepas saingan Liga J3 musim 2024 berakhir. — Instagram/LuqmanHakim

Pada 17 Disember lepas, Luqman Hakim difahamkan bakal berpisah dengan kelab divisyen tiga Jepun iaitu Yokohama SCC selepas saingan Liga J3 musim 2024 berakhir susulan tempoh pinjamannya bersama pasukan itu akan berakhir dalam tempoh terdekat.

Sejak menyertai Yokohama pada pertengahan Januari lepas, Luqman Hakim mendapat peluang untuk tampil dalam sembilan perlawanan dalam semua kejohanan bersama pasukan yang sudah tersingkir ke divisyen keempat itu.

Selepas ini, Luqman Hakim dijangka kembali semula ke Belgium memandangkan pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mempunyai baki kontrak bersama KV Kortrijk sehingga pertengahan 2025.

Daripada terus menagih simpati dengan kelab asing, Luqman Hakim digesa memikirkan masa depannya sebagai pemain bola sepak sementara menghabiskan dengan mula mempertimbangkan beraksi di saingan Liga M.

Antara kelab yang difikirkan sesuai mendapatkan khidmat penyerang muda kebangsaan berkenaan ialah bekas pasukannya, Selangor FC atau menyertai pasukan Perak FC atau juga Terengganu FC.

2) Fergus Tierney

fergusss

Kontrak Tierney ditamatkan kerana penyerang itu lebih memilih mewakili Malaysia daripada bersama kelabnya. — Instagram/Tierney

Watak penting Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF baru-baru ini, Fergus Tierney tidak lagi bersama kelab Thailand, Chonburi FC kerana keputusan pasukan berkenaan menamatkan kontrak pinjamannya daripada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Menurut perkongsian media tempatan, kontrak Tierney ditamatkan kerana penyerang itu lebih memilih mewakili Malaysia ketika kejohanan Piala AFF yang berada di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Chonburi sedang bersaing dalam Thai League 2.

Pengorbanan Tierney itu mendapat pujian daripada penyokong tanah air susulan sanggup memilih tugasan negara walaupun hakikatnya dia sedang menikmati momen terbaik bersama Chonburi FC.

Bersama skuad The Sharks, pemain berusia 21 tahun berkenaan mencetak satu gol dan satu bantuan jaringan selepas mendapat peluang beraksi dalam 13 perlawanan yang disertai Chonburi.

Usia masih muda dan mempunyai work rate yang tinggi menjadi kelebihan buat Tierney menarik minat pasukan Liga Super. Kelab seperti Penang FC serta Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh membuat permintaan kepada Harimau Selatan untuk meminjam khidmatnya.

3) Muhammad Abu Khalil

abu khalili

Muhammad sebelum ini menyertai FC Osaka pada Julai lepas. — Instagram/SelangorFC

Hanya sempat berkelana selama enam bulan di Jepun, prospek Selangor FC iaitu Muhammad Abu sah kembali ke pangkuan Gergasi Merah selepas tamat tempoh pinjaman bersama FC Osaka.

Sepanjang tempoh pinjamannya, pemain berkenaan tidak berkesempatan beraksi buat pasukan utama FC Osaka, namun peluang bersama sesi latihan pasti memberikan pendedahan bermakna buatnya.

Meskipun tidak mendapat peluang bermain, pemain tengah berusia 19 tahun itu menghargai ilmu dan pengalaman yang ditimbanya sepanjang bersama pasukan berkenaan sejak Julai lepas.

Kepulangannya ke pangkuan Selangor, pasti akan menarik perhatian Katsuhito Kinoshi selaku jurulatih untuk menggunakan Muhammad Abu di bahagian tengah lagi-lagi mereka sama-sama mempunyai persamaan DNA Jepun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram