SATU persatu masalah Kedah Darul Aman (KDA) FC timbul gara-gara masalah kewangan yang masih tidak menemui jalan penyelesaian sejak ia mula melanda kem Sang Kenari pada awal musim lepas.
Selepas pendedahan mengenai tunggakan gaji sudah memasuki sembilan bulan, terbaharu KDA FC dikhabarkan tidak boleh lagi berlatih di lokasi biasa iaitu Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah disebabkan tunggakan sewa yang terlalu besar.
Memetik laporan Kosmo, sehingga kini masih belum ada kata putus lokasi latihan KDA FC akan berlatih pada Khamis setelah mereka bercuti pada Rabu. Ia jelas merencatkan persiapan perlawanan menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada 10 Januari.
BACA LAGI: Dulu Kedah 'gudang' bola sepak, sokongan tak putus tapi kini sudah berbeza — Wan Jamak
Berdasarkan laporan berkenaan, Sang Kenari dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini tidak berlatih di tengah-tengah padang sebaliknya di belakang tiang gol saja kerana kawasan itu dikatakan percuma.
Namun, perkembangan terbaharu memaklumkan mereka tidak lagi dibenarkan berlatih di stadium itu kerana tunggakan hutang yang terlalu besar. Ada kemungkinan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) atau padang Peremba bakal menjadi lokasi latihan mereka nanti.
Lebih menyayat hati, jumlah kehadiran pemain Kedah yang menjalani sesi latihan semakin berkurangan apabila pasukan itu masih mengalami isu tunggakan gaji cukup besar untuk diselesaikan.
Masalah dialami pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu menyebabkan penyokong semakin bersimpati dengan nasib mereka dan laungan 'mana anak jati' kembali kedengaran di media sosial.
"Kasihan. Pemain dah bagus tapi tiada ke anak jati Kedah yang boleh bela nasib pemain-pemain ini," kata penyokong Sang Kenari, Norisyam Mukhtalif.
"Exco terlibat buat apa?? Hantar dua orang wakil rakyat yang pernah menjadi pemain bola sepak buat apa?," kata penyokong Sang Kenari, Fakhry Sulaiman.
Sehingga kini, Kedah yang dimiliki oleh Tan Sri Mohd Daud Bakar Daud Bakar tidak mempunyai penaja utama selepas beberapa kali potensi pelabur tidak berhasil mencapai persefahaman dengan mereka.
Antaranya ialah konglomerat tempatan, Datuk Seri Azizul Tandek menerusi Mahsuri Medical Centre (MMC) memulakan langkah untuk sepenuhnya mengambil alih pemilikan saham saham KDA FC yang pada musim ini berdepan dengan masalah kewangan yang getir.

Azizul (kanan) sebelum ini menawarkan diri untuk membantu Kedah.
Namun, pihak KDA FC memberi maklum balas untuk merujuk tawaran itu dengan pihak peguam kelab bagi membincangkan asas serta terma tawaran dengan lebih lanjut dan terperinci.
Jika Kedah masih tidak berhasil memulihkan masalah kewangan mereka, jangan terkejut kalau Sang Kenari akan mengalami nasib seperti Kelantan FC yang sudah lenyap dari Liga Malaysia (Liga M).
Setakat ini, Majoriti masih menunggu jawapan dari Mohd Daud mengenai laporan berhubung isu lokasi latihan KDA FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
