TINDAKAN murni tiga anggota polis dari Balai Polis Kepala Batas, Kedah yang enggan mengambil tindakan kepada penunggang motosikal melanggar undang-undang jalan raya, malah membantu individu kurang berkemampuan itu menyentuh hati orang ramai.
Perkara itu dikongsikan menerusi sebuah video berdurasi seminit 18 saat yang pada awalnya dimuat naik di akaun TikTok zukiy3044 memaparkan ketiga-tiga anggota tersebut pada awalnya memberi teguran kepada penunggang berkenaan selepas dia tidak berhenti di lampu isyarat sebanyak dua kali.
Namun, kegagalannya untuk berbuat demikian sebenarnya adalah disebabkan kerosakan kedua-dua brek dengan masalah berkenaan boleh mengundang padah terhadapnya serta isteri dan anak yang juga bersamanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja mekanik maut motor 'Y suku' terbabas rempuh tiang elektrik di Johor
BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh, gara-gara troli ikan gamat seluruh Pasar Borong KL, siap panggil polis
Simpati akan perkara itu, ketiga-tiga anggota berkenaan segera membawa penunggang motosikal tersebut ke bengkel berhampiran untuk membaiki kenderaannya agar kesalahan tersebut tidak diulangi.
Rakaman terbabit kemudiannya dimuat naik di akaun Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad yang sudah menerima hampir 400,000 tontonan dengan pujian harus diberikan kepada mereka.
"Syabas diucapkan kepada Koperal Mohd Dazuki Mat Nor, Lans Koperal Mohamad Ikram Abdullah dan Lans Koperal Muhammad Adzhar Hakimi Yusof kerana membantu penunggang motosikal yang kerosakan brek ketika melakukan tugasan rondaan cegah jenayah di Jalan Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah pada Sabtu.
"Prihatin dengan nasib lelaki berkenaan yang dilihat menaiki motosikal bersama isteri dan anaknya, ketiga-tiga anggota Balai Polis Kepala Batas membawa mereka ke bengkel berhampiran untuk membaiki motosikal, sekali gus membuat bayaran tanpa mengharapkan balasan," tulisnya.
Sikap ditonjolkan ketiga-tiga anggota itu wajar menjadi panduan bahawa orang ramai tidak sepatutnya gusar akan kehadiran pihak polis kerana mereka akan tampil memberi bantuan sekiranya diperlukan.
Polis perlu memahami kesukaran seseorang itu mendekat diri dengan masyarakat. — Agensi
Hal berkenaan turut disedari pengguna media sosial lain yang berasakan sikap negatif sesetengah anggota PDRM bukanlah kayu ukur untuk mengatakan unit beruniform itu sememangnya bermasalah.
"Niat nak saman disebabkan lampu merah, tetapi tak jadi kerana melihat kepada keadaan saudara tersebut. Jadi, ALLAH lipat ganda pahala mereka sebab membantu mereka. Terima kasih org baik, rezeki ALLAH tak salah alamat," kata Sharul Azwan Ameer.
"Langgar lampu merah kerana terpaksa disebabkan masalah brek, bukan sahaja menyalahi peraturan malah membahayakan diri juga. Yang susah kita permudahkan, ALLAH permudahkan urusan kalian mereka yang baik hati," kata Laila Razamalifaqihah.
"Patut diberikan penghargaan kerana dalam nasihat, ada perasaan bertimbang rasa. Semoga dimurahkan rezeki sentiasa bagi anggota yang bertugas," ujar Nazri Salim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram