PENDUDUK ibu kota menyeru kerajaan untuk membina sebuah taman bandar di kawasan seluas 197 hektar di Bandar Malaysia, dengan visi menjadikannya ruang hijau setanding Central Park di New York, Amerika Syarikat atau Hyde Park di London, England.
Seruan itu timbul selepas pembatalan projek taman tema yang dicadangkan di lokasi tersebut dan laporan terbaharu mengenai KLCC Property Holdings, sebuah syarikat berkaitan kerajaan melalui pemegang saham utamanya PETRONAS, memperoleh tanah itu untuk pembangunan masa depan.
Pihak berkepentingan menekankan kepentingan mewujudkan ruang hijau berskala besar yang mampu memberi manfaat kepada komuniti daripada pelbagai kumpulan pendapatan, terutamanya golongan B40 dan M40, di bekas tapak Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi, Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Kadet UiTM maut kerana strok haba, tiada kecederaan dalaman — Ketua Polis Selangor
BACA LAGI: 'Arwah Amir penyayang, suka memasak', keluarga harap kematian kadet Palapes UiTM dapat keadilan
Mereka percaya bahawa langkah tersebut akan meningkatkan kualiti hidup sambil memastikan penggunaan tanah yang lebih berfokus pada komuniti.
Pengerusi Save Kuala Lumpur (SKL), Datuk M Ali berkata, penduduk di Kuala Lumpur juga layak memiliki taman seperti Hyde Park.
“Kami mahukan sebuah kawasan hijau bandar yang meriah dengan pokok, tasik dan kemudahan awam,” katanya.
Cadangan itu turut disokong Pengerusi Persatuan Tindakan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Lestari, Tan Booi Charn.
“Bayangkan betapa indahnya jika kita dapat mewujudkan ruang seperti Central Park di New York yang penuh dengan alam semula jadi, pokok, tasik dan ekosistem yang seimbang,” ujar Booi Charn.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang kawasannya meliputi Bandar Malaysia, menambah bahawa dengan adanya rancangan kerajaan untuk membangunkan kondominium, hotel, pusat beli-belah dan pembangunan kediaman, adalah penting untuk memperuntukkan ruang bagi taman awam.
“Permintaan ini adalah wajar, terutamanya kerana banyak tanah yang asalnya diperuntukkan untuk taman telah digunakan untuk projek perumahan,” tegas beliau.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif turut menekankan, tanah Bandar Malaysia memberikan peluang unik untuk Kuala Lumpur berkembang menjadi sebuah bandar yang lebih boleh didiami.
Ujar beliau, keluasan kawasan itu membolehkan pelaksanaan prinsip utama perancangan bandar lestari, termasuk konsep bandar hijau.
“Apabila projek ini bergerak ke hadapan, kami akan memastikan pemaju mematuhi garis panduan ketat mengenai penggunaan tanah, kepadatan, zon, kemudahan dan ruang terbuka,” katanya.
Baru-baru ini, Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) menamatkan perjanjian dengan Sim Leisure Group Ltd, sebuah syarikat yang disenaraikan di Singapura, untuk membangunkan taman pengembaraan di lokasi tersebut.
Pada November lalu, menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa Bandar Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menyewakan sebahagian bekas pangkalan udara itu kepada pengendali taman tema selama 15 tahun bagi mengelakkan tapak tersebut dibiarkan terbiar.
Bagaimanapun, cadangan itu mendapat kritikan daripada penduduk yang bimbang akan kesesakan lalu lintas dan juga kesannya terhadap alam sekitar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa tanah tersebut perlu dimanfaatkan secara optimum untuk projek yang berfokuskan komuniti. — The Star/BAVANI M
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram