PERTELINGKAHAN sekumpulan lelaki yang tular di media sosial berpunca daripada perselisihan faham antara pekerja yang menolak troli ikan dan terlanggar lelaki lain yang bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur pada Sabtu.
Melalui Video yang dimuat naik di akaun TikTok @Dahri maju memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai peniaga di kawasan tersebut bergaduh mulut di kawasan lapang pasar borong tersebut.
Menerusi video 26 saat itu, turut kedengaran suara seorang lelaki dipercayai individu yang merakam situasi tersebut.
"Gaduh, gaduh, gaduh wei. Apa lagi 'bantai' (pukul) la kan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 12.30 tengah malam tadi Sabtu.
"Difahamkan pergaduhan itu disebabkan antara pekerja yang menolak troli ikan telah melanggar seorang lagi lelaki yang bekerja dalam pasar tersebut.
"Akibat pelanggaran itu, berlaku pertelingkahan mulut antara kedua-dua pihak dan tiada pergaduhan fizikal yang mendatangkan kecederaan.
"Anggota unit peronda polis (MPV) datang meleraikan pergaduhan dan kedua-dua pihak hadir ke Balai Polis Sri Murni, Kuala Lumpur serta berdamai secara baik tanpa membuat sebarang laporan polis," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram