MASALAH gaji di Liga Malaysia dilihat tak akan berakhir baik di peringkat profesional atau semi-pro serta amatur.
Kita sering melihat berlakunya isu tunggakan gaji dalam kalangan kelab Liga Super, tetapi di liga bawahan negara turut berdepan situasi serupa.
Baru-baru ini, kelab Selangor, PIB Shah Alam mencuri tumpuan apabila mereka turun dalam aksi Liga A1 Semi-Pro bertemu Manjung City pada Sabtu.
BACA LAGI: 'Amanah harus dijalankan', Rizal Ghazali tak putus harap, tunggakan 7 bulan gaji 'settle'
BACA LAGI: Belasah Machan FC 10-1, KL Rovers tarik diri bertemu JDT?
Malah, PIB juga mencuri tumpuan apabila turun dengan sembilan pemain sahaja bertemu Manjung kerana isu kewangan dialami mereka.
Dalam masa sama, Kuala Lumpur Rovers juga dilaporkan tidak mahu turun beraksi dengan aksi bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Piala Malaysia menjadi tanda tanya.
Situasi sukar itu mendapat tumpuan bekas pemain iaitu Fauzan Dzulkifli yang menasihatkan para pemain mencari kerjaya lain di luar industri bola sepak.
Hal ini kerana, dia berpendapat, bola sepak Malaysia sudah semakin tenat dengan isu kewangan dan itu berbahaya buat para pemain yang mencari rezeki untuk menganggung keluarga.
"Buat kawan kawan yang masih aktif dan mengharapkan bola sepak ini adalah punca pendapatan utama, boleh lupakan. Carilah kerja yang lebih menjamin pendapatan keluarga dan masa depan.
"Bola sepak sekarang bukan macam dulu. Kita ada keluarga yang perlu ditanggung. Ada komitmen perlu dibayar. Bukan bermain secara suka-suka tanpa dibayar gaji.
"Kasihan pada pemain yang enam, tujuh bulan tidak dibayar gaji. Masih ada lagi ke hati untuk main?," tanya Fauzan.
Fauzan yang merupakan bekas pemain PKNS FC dan Penang FC itu sudah bersara dan kini menjadi pegawai takaful.
Dia turut mengingatkan agar pemain menolak ke tepi semangat kenegerian dan mengutamakan keluarga dalam mencari rezeki.
"Jangan cerita pasal semangat kenegerian kalau anak, isteri di rumah tak boleh diberi nafkah. Fikirkanlah diri sendiri dan keluarga dulu baru orang lain," pesan Fauzan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram