'Penyelesaiannya, carilah kerja tetap dan lebih kukuh'


  • Podium
  • Ahad, 22 Okt 2023

Keluhan Naqib mengenai masalah tunggakan gaji yang dihadapinya mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan.

MASALAH pembayaran gaji yang dihadapi Kedah Darul Aman (KDA) FC akhirnya terdedah apabila seorang pemain dalam skuad Piala MFL, Muhammad Naqib Sharipuddin mendedahkan mengenai hal itu.

Perkongsian tersebut dibuat menerusi satu hantaran di laman Instastory peribadinya yang kemudian dikongsikan penyokong Hijau Kuning di media sosial.

Berdasarkan luahan berkenaan, bek kanan berkenaan berkongsi realiti sebenar di sebalik bergelar seorang pemain bola sepak yang tidak semestinya membawa kegembiraan.

"Main bola ni memang seronok kerana apabila disebut mengenai gaji, kononnya ia merupakan salah satu pekerjaan termudah untuk mendapatkan wang.

"Tetapi, hakikatnya, kalau dapat pasukan yang betul-betul pandai jaga majikan, bersyukurlah juga kita. Namun, kalau dapat yang tidak jaga dan gaji pun tidak mahu bagi dan kemudiannya mengharapkan kita menang dalam semua perlawanan?" tulisnya.

387839636_270481872636940_2547413848174571112_n

Naqib merupakan salah seorang tonggak utama buat skuad muda Sang Kenari musim ini. Facebook/KDA FC B

Penulisan itu sudah semestinya menjadi tumpuan media tempatan yang tidak mahu ketinggalan mendapatkan maklumat sebenar mengenai kemelut pengurusan KDA FC.

Selain itu, penyokong juga dilihat cukup tertarik untuk memberikan buah pandangan masing-masing dalam mengatakan mengenai isu kebajikan yang dihadapi kelab Utara tanah air berkenaan.

Antara yang lantang membicarakan akan hal itu ialah laman Facebook Biar Jasa Jadi Kenangan yang sempat memberikan nasihat buat pemain berusia 22 tahun terbabit.

"Assalamualaikum. Penyelesaiannya, carilah kerja tetap dan lebih kukuh. Sampai bila nak terus bermain? Kalau betul padu, rasanya tiada masalah untuk terus bermain.

394452503_1082486469675445_4245274345456321062_n

Luahan yang dibuat Naqib kini menerima perhatian pelbagai agensi media tempatan.

"Di pihak majikan, seharusnya tunaikan tanggungjawab yang termaktub dalam perjanjian sebelum ini," tulisnya sambil menyertakan keratan akhbar mengenai luahan Naqib baru-baru ini.

Sebelum ini, beberapa kumpulan penyokong turut menyuarakan hal sama berikutan prestasi tidak menentu yang dialami skuad Sang Kenari di peringkat domestik.

Ini termasuk penyingkiran awal daripada saingan Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup meskipun pasukan tersebut memiliki kualiti pemain cukup baik.

Setakat ini, Naqib merupakan tonggak utama KDA FC B dalam saingan Piala MFL apabila sudah diturunkan sebanyak 17 kali musim ini.

Bagaimanapun, luahannya yang kini tersebar di mata peminat bola sepak sudah tentu akan merencatkan masa depannya bersama pasukan terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram