'Karom bukan boleh pergi jauh, tak macam bola sepak', atlet cedera bersyukur dapat kerja MBPJ


  • Massa
  • Khamis, 26 Dis 2024

Sukan karom yang membuka pintu rezeki Amiroul di MBPJ.

BILA bercakap tentang sukan, pastinya tidak akan terlintas di fikiran bahawa karom antara permainan yang termasuk dalam kategori tersebut.

Pastinya ramai beranggapan sukan hanya melibatkan aktiviti dengan kecergesan fizikal dan pergerakan pantas seperti bermain bola sepak, badminton atau bola keranjang.

Namun, karom juga merupakan sukan tradisional yang mampu menguji ketepatan, fokus, kemahiran strategi dan tumpuan mental walaupun ia tidak memerlukan kekerapan pergerakan fizikal.

BACA LAGI: Bukan lagi 'gajah putih', sinar baharu Hentian Kajang, kini pusat pertemuan pencinta buku

BACA LAGI: [VIDEO] Sekeluarga trauma terperangkap lebih 2 jam dalam 'cable car' di Genting Highlands, RWG sedia bagi 'refund'

6289677999959818952

Permainan karom yang kebiasaannya dilakukan secara santai.

Dengan bermodalkan buah karom dan papan kayu, permainan santai itu bagaimanapun mempunyai keunikan serta peminatnya tersendiri.

Menariknya, sukan karom juga sudah lama diperkenalkan dan mendapat perhatian rakyat Malaysia sehingga ke peringkat pertandingan.

Ia turut diiktiraf oleh pelbagai agensi termasuk organisasi kerajaan seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Seorang daripada atletnya, Amiroul Amer Abdul Aziz yang berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir dalam Jabatan Pembangunan Masyarakat MBPJ selama enam tahun.

Berkongsi serba sedikit pengalamannya, Amiroul mula berjinak-jinak dalam sukan karom selepas mengalami kecederaan pada lutut selepas bermain bola sepak pada 2012.

Katanya, karom pada awalnya hanyalah sekadar aktiviti santainya bersama rakan-rakan ketika waktu lapang.

6291929799773504392

Amiroul juga aktif menyertai pertandingan lain yang dianjurkan oleh MBPJ.

Namun, kecederaan itu mengubah haluan hidupnya dan mula menceburi sukan karom lebih serius pada 2014 di MBPJ.

"Asalnya main santai sahaja tetapi dalam kelompok peminat karom. Lama-kelamaan saya mula sertai komuniti karom dan sertai pertandingan serta kejohanan di Malaysia.

"Saya juga sertai latihan karom. Yang seronoknya main karom bila berjumpa komuniti yang ramah dan tak sombong.

"Kalau tegur itu ibarat macam satu keluarga," katanya kepada Majoriti.

Amiroul juga sering mewakili MBPJ dalam kejohanan seperti Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) dan Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia (SUKANUN) yang melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini.

6289677999959818950

Amiroul (kiri) ketika menyertai SUKANUN di Perlis September 2023.

Sesetengah orang mungkin melihat ia satu permainan biasa untuk menghabiskan waktu terluang, namun bagi Amiroul, karom lebih daripada itu.

Tidak terlepas daripada kata-kata negatif orang luar, Amiroul tidak pernah menganggap ia sebagai penghalang untuknya terus maju ke hadapan.

"Pada saya, disebabkan karomlah saya dapat kerja. Kalau saya main sukan lain, belum tentu dapat bekerja di sini.

"Ramai je yang cakap, karom bukan boleh pergi jauh tak macam bola sepak. Tetapi, saya senang sahaja, asalkan saya kerja lebih bagus daripada mereka yang cakap begitu.

"Main karom ni juga boleh mengeratkan silaturahim, meningkatkan kemahiran berfikir dan tahap kesabaran. Sebab kalau satu langkah tersalah, permainan itu boleh berubah atau habis terus," jelasnya.

6289677999959818949

Kejohanan karom terbuka Seremban pada May 2024.

Sepanjang penglibatannya, Amiroul tidak hanya membawa pulang trofi, tetapi juga membuktikan potensi sukan tradisional di peringkat kebangsaan.

Amiroul pada masa sama berhasrat untuk mengekalkan momentumnya dalam sukan itu serta menambah bilangan pemain berbakat sebagai wakil MBPJ.

Katanya, setakat ini, pasukan karom MBPJ terdiri daripada 16 pemain termasuk pengurus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram