PENGOREKAN dasar Sungai Rajang di Sibu, Sarawak adalah penyelesaian utama terhadap masalah banjir kilat yang melanda bandar itu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong, Datuk Seri Tiong Sing King.
Beliau menjelaskan bahawa satu persetujuan kolektif telah dicapai untuk melaksanakan kerja-kerja pengorekan bagi mengurangkan kekerapan banjir kilat di Sibu dan membebaskan penduduk daripada ancaman banjir yang berterusan.
Persetujuan tersebut dicapai semasa mesyuarat antara Tiong bersama Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Persekutuan dan cawangan Sibu.
Mesyuarat mengenai kemajuan projek tebatan banjir Sibu yang diadakan di Kuala Lumpur itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Dalam satu kenyataan, Tiong menyatakan bahawa pembinaan lebih banyak stesen pam tidak akan membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Tayar treler tercabut punca nahas ragut 7 nyawa termasuk kanak-kanak di Lebuhraya PLUS
“Keutamaan adalah untuk menyiapkan laporan tinjauan hidraulik bagi Sungai Rajang dan Sungai Igan secepat mungkin bagi mendapatkan data yan tepat.
"Ini akan membolehkan kita memulakan kerja-kerja pengorekan sungai dan memulihkan kapasiti sungai untuk menampung air hujan, terutamanya dalam menghadapi perubahan iklim yang mendadak," ujarnya.
Tiong turut menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Fadillah kerana mengiktiraf keperluan mendesak untuk menyiapkan laporan hidraulik dengan pantas dan menawarkan dana RM26 juta bagi menyelesaikan kerja ukur.
Beliau menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengemukakan pelan projek yang komprehensif dengan matlamat untuk melengkapkan laporan hidraulik secara rasmi menjelang Mac 2025.
Tiong mencadangkan agar tinjauan dasar sungai diperluaskan agar beberapa pasukan dapat menjalankan kajian serentak di sungai yang berbeza, sekali gus meningkatkan kecekapan kerja.
“Sibu telah berdepan dengan masalah banjir kilat bertahun-tahun, dengan penduduk terpaksa menghadapi empat hingga lima kali kejadian banjir setiap tahun.
"Adalah sangat menyedihkan bagi rakyat apabila mereka membaca berkenaan langkah-langkah pencegahan banjir kerajaan dalam berita, namun tiada sebarang penyelesaian," tambahnya.
Menurut Tiong, masalah pemendapan di Sungai Rajang dan Sungai Igan semakin teruk termasuk kawasan seperti Bintangor dan Sarikei yang mana jika diperhatikan air bertakung kemudiannya mengakibatkan sungai gagal mengalir dengan lancar ke Tanjung Manis.
“Jika kerja pengorekan tidak dilaksanakan segera, banjir pada masa akan datang akan menjadi lebih teruk,” tambah Tiong. — The Star/ANDY CHUA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram