
KELEBIHAN berpihak kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mereka lolos ke suku akhir Piala Malaysia memandangkan mereka sudah berada di hadapan untuk aksi pertama menentang Kuala Lumpur (KL) City FC.
Ini kerana mereka sudah berada di hadapan setelah penyerang berbisa mereka, Bergson da Silva meledak pada minit ke-32 untuk menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Azri Ghani.
Menariknya, gol pemain kelahiran Brazil tersebut adalah cukup istimewa kerana dia tidak mempunyai ruang besar untuk mencetak jaringan kerana dia ketika itu dikerumuni pemain KL City FC.
BACA LAGI: [VIDEO] Jaringan Brendan Gan imbau derita bersejarah Indonesia
BACA LAGI: 'Saya masih tertanya-tanya kenapa Brendan tinggalkan Selangor?'
Skuad Harimau Selatan melakar kemenangan tipis di Stadium Cheras, KL. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, dengan pengalaman serta kualiti dimilikinya, pemain berkenaan berjaya melepaskan rembatan dengan jaringan tersebut membuatkan penyokong skuad Harimau Selatan sekali lagi mengagumi akan kebolehannya.
Bersambung babak kedua, seperti kebiasaan, skuad Harimau Selatan meneruskan serangan bagi terus meraih keselesaan, namun taktikal bertahan yang diterapkan skuad Warga Kota sukar untuk dirobohkan.
Ini kerana mereka perlu menunggu sehingga minit ke-78 permainan untuk mendapatkan gol kedua menerusi Heberty Fernandes yang sedikit sebanyak menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Miroslav Kuljanac enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal apabila mereka berjaya mengecilkan defisit jaringan selepas pemain senior pasukan, Brendan Gan mencetak gol peribadinya.
Pada minit ke-89 permainan, bekas tonggak Harimau Malaya itu cukup peka dalam kotak penalti pasukan pelawat untuk menerima sepakan penjuru daripada Zhafri Yahya.
Ketangkasannya dibuktikan apabila dia berjaya melakukan sepakan akrobatik untuk menewaskan Syihan Hazmi di pintu gawang JDT untuk menjadikan kedudukan 1-2 kepada KL City FC.
Meskipun mengalami kekalahan, gol itu sedikit sebanyak membawa keriangan kerana orang ramai berasakan ia layak dikurniakan Anugerah Puskas berdasarkan kualiti dipamerkan.
Selain itu, kekalahan yang tidak terlalu teruk membuka ruang buat skuad Warga Kota percaya bahawa mereka mampu melakar kejutan dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, pasukan Lembah Klang itu sememangnya bergelut setiap kali bertandang ke Selatan tanah air, namun ia bukanlah sebab untuk mereka mengibarkan bendera putih terlalu awal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram