KUALA Lumpur City FC waspada serangan bertali arus daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan perlu perkuatkan benteng pertahanan dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia pada Jumaat, lapor MFL.
Pengendali The City Boys, Miroslav Kuljanac menyifatkan bertemu lawan seperti JDT memerlukan strategi terbaik terutamanya daripada aspek bertahan bagi mengelakkan mereka bolos lebih awal.
Selepas tewas 0-3 kepada lawan sama di pentas Liga Super Ahad lalu, Kuljanac tidak menafikan rembatan jauh yang sering kali dilakukan oleh JDT antara yang sukar untuk dielak dan perlu bekerja lebih keras bagi memastikan bekalan selesa dapat dibawa ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor bagi aksi kedua nanti.
BACA LAGI: Selain Akhyar Rashid, ada 3 pemain seolah-olah beri 'hint' sarung jersi kelab lain
Ketajaman Arif Aiman Hanapi (kanan) di depan pintu gol ditagih bagi membantu Harimau Selatan menewaskan The City Boys. — Facebook/JDT
“Saya harap pemain dapat bertahan dengan lebih baik sebab biasanya apabila berdepan JDT, memang memaksa kita untuk lebih bertahan.
“Dan ditambah dengan situasi yang tak dapat dielakkan seperti contoh tendangan dari jarak jauh dari JDT, kadang-kadang itu yang menghukum pasukan kita walaupun kita sudah berusaha untuk mengawal dalam kotak penalti.
“Apa pun, saya masih memikirkan kesebelasan terbaik disebabkan dua pemain kita bersama pasukan kebangsaan, Giancarlo Gallifuoco digantung perlawanan dan Nick Swirad pula cedera”, jelasnya.
Sementara itu, satu lagi perlawanan suku akhir yang akan berlangsung adalah antara Perak FC yang berdepan Sri Pahang FC.
Pemain Sri Pahang, Sean Selvaraj tidak menolak pasukannya kini dalam motivasi terbaik apabila mara ke suku akhir dan tekad ingin terus beri aksi memuaskan sekiranya diberi kepercayaan oleh jurulatih, Fandi Ahmad.
“Bagi saya , Perak adalah pasukan yang bekerja keras dan kini menunjukkan prestasi baik, tetapi esok semuanya bergantung kepada karakter masing-masing untuk mampamerkan aksi yang sengit.
“Apa yang pasti, kami semua dalam momentum yang cukup baik terutamanya selepas tewaskan Selangor FC di aksi pusingan 16, dan sudah tentu kita akan cuba menyaingi pasukan tuan rumah untuk bawa bekalan selesa ke Temerloh,”tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram