[VIDEO] 'Scorpion kick' Azam Azih bantu Pahang ukir senyuman di Manjung lepas Zarif Irfan dibuang padang


  • Podium
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Zarif Irfan (merah) dilayangkan kad merah selepas berlakunya pertelingkahan antaranya dengan Clayton da Silva. — Facebook/Sri Pahang FC

SRI Pahang FC boleh menarik nafas lega apabila berjaya berada di hadapan selepas 45 minit aksi suku akhir Piala Malaysia di Stadium Manjung, Perak pada Jumaat.

Hantaran silang daripada pemain sayap kanan Tok Gajah, Manuel Hidalgo mudah dimanfaatkan penyerang merangkap kapten pasukan, Kpah Sherman yang sekali gus memberikan kelebihan buat pasukan pelawat.

Kedudukan itu pasti membawa kegusaran terhadap penyokong Perak FC kerana masing-masing meletakkan harapan tinggi untuk menyaksikan pasukan mereka layak ke pusingan seterusnya.

BACA LAGI: Hanya sekali menang lawan Pahang, 3 pemain Piala Presiden Perak wajib dipertaruhkan YCL

BACA LAGI: [VIDEO] Piala Tun Ali: Taktikal menjadi, bintang beregu Kedah buka rahsia tundukkan Perak

470206068_602987538789900_4945228443218747259_n

Skuad Tok Gajah meraih kemenangan penting sebagai bekalan ke laman sendiri. Facebook/MFL

Namun, di sebalik harapan sebesar gunung itu, masing-masing turut meluahkan kekecewaan berhubung persembahan ditonjolkan skuad The Bos Gaurus (TBG) yang tidak menerapkan intensiti sebenar dari awal permainan.

Ini kerana selepas dibolosi, barulah kelihatan anak-anak buah Yusri Che Lah melakukan serangan demi serangan dalam misi mecari gol penyamanan untuk dibawa ke perlawanan seterusnya.

Bersambung babak kedua, serangan lebih dilancarkan Perak FC sementara Sri Pahang FC lebih kerap bertahan memandangkan jaringan babak pertama itu dirasakan cukup buat mereka.

Selain lebih kerap meletakkan pemain untuk menghalang serangan skuad TBG, anak-anak buah Fandi Ahmad kerap melengahkan masa untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Tetapi, tindakan itu membawa padah kerana pada penghujung permainan, penjaga gol Tok Gajah, Zarif Irfan Hashimuddin dilayangkan kad merah atas kekasaran dilakukan.

Keputusan untuk membuangnya dari padang dibuat pengadil perlawanan, S Logeswaran setelah mendapati pemain itu menyiku penyerang tuan rumah, Clayton da Silva ketika mereka merebut bola.

Meskipun hanya beberapa minit berbaki, gawang Sri Pahang FC jelas kelihatan gusar kerana serangan demi serangan dilancarkan dengan beberapa sepakan penjuru dihadiahkan buat Perak FC.

Ini termasuk sepakan yang menghadiahkan peluang buat mereka ketika bola muntah hinggap di kaki Tommy Mawat Bada yang pantas melakukan rembatan deras, namun sempat ditampan Nor Azam Azih.

Tindakan pantasnya untuk melakukan hadangan dengan gaya 'scorpion kick' menyaksikan bola terbias keluar dengan rakan sepasukannya jelas berpuas hati dengan aksi tersebut.

Kedudukan 1-0 berpihak kepada Sri Pahang FC kekal sehingga penghujung perlawanan dengan mereka perlu beraksi lebih baik di laman sendiri pada 22 Disember depan untuk meraih tiket ke separuh akhir Piala Malaysia. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram