SELEPAS kecewa dengan pemergian pemain import Marin Pilj, berita gembira hadir buat penyokong Terengganu FC apabila kelab mengumumkan penyambungan kontrak pemain import mereka.
Terengganu mengumumkan yang mereka menyambung kontrak pemain tengah dari Uzbekistan iaitu Nurillo Tukhtasinov sehingga Disember 2025.
Ia menarik nafas lega buat para penyokong kelab yang risau Tukhtasinov tidak lagi bersama-sama akibat kontraknya yang semakin tamat pada tahun ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Safawi Rasid bangga pasukan beri 100 peratus, Melaka FC yakin masih mampu cipta kejutan
"Pemain tengah pasukan Terengganu FC, Nurillo Tukhtasinov pada hari ini telah menandatangani kontrak lanjutan untuk terus kekal bersama kelab ini sehingga Disember 2025.
"Pemain kelahiran Uzbekistan ini mengakui sebelum ini menerima beberapa tawaran dari kelab lain namun beliau memutuskan untuk terus setia bersama kelab untuk baki musim ini dan musim berikutnya," kata Terengganu dalam satu pengumuman pada Selasa.
Berita itu disambut baik oleh penyokong dengan mereka berasakan Tukhtasinov adalah salah seorang pemain tengah yang baik untuk mereka selain daripada kesetiaannya bersama kelab itu.
Usai selesai urusan mengikat Tukhtasinov, penyokong Terengganu idamkan kelab itu membawa rakan senegara pemain tengah itu yang sedang bersama Kedah Darul Aman FC.
Pemain yang dimaksudkan adalah Sukhrob Nurullaev. Pemain itu baru semusim beraksi di Kedah bermain sebanyak sebelas kali dengan menghasilkan satu gol dan satu bantuan gol.
Dengan dia beraksi di bahagian sayap, Nurullaev dilihat calon yang baik untuk menggantikan pemain seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang akan kembali ke kelab asal mereka selepas tamat musim 2024/2025.
"Mantap. Pemain import Uzbekistan tidak mengecewakan," kata penyokong bernama Fadzrul Ramli.
"Alhamdulillah, pemain sayap Kedah dari Uzbekistan tu boleh tahan juga," ujar Hariz Ismail. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram