KENYATAAN Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai keputusan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid sekolah yang bertujuan mengurangkan tekanan nampaknya kurang mendapat persetujuan ramai.
Pada Selasa, Fadhlina mengumumkan perkara itu ketika dalam persidangan di Dewan Rakyat.
Menurutnya, KPM mengambil pendekatan agar tumpuan pembelajaran di sekolah berasaskan inquiry (pertanyaan), eksplorasi, pengalaman, contextual (mengikut konteks) serta pentaksiran yang sepenuhnya melihat kepada pembangunan holistik murid.
BACA LAGI: [VIDEO] Gagal ujian kali kedua, roket Epsilon S Jepun meletup 49 saat lepas berlepas
Fadhlina (tengah) mengumumkan keputusan KPM berhubung pemansuhan peperiksaan di sekolah. — The Star
Beliau juga berkata bahawa pendekatan itu diambil bagi memastikan tiada lagi tumpuan diberikan kepada orientasi peperiksaan dan mengurangkan tekanan pelajar, sebaliknya menawarkan satu ekosistem pembelajaran jauh lebih menarik.
Keputusan itu bagaimanapun dilihat tidak munasabah kerana akan menjejaskan proses pembelajaran pelajar.
Mengulas lanjut, pengguna akaun Facebook Megat Hisemudin Megat Kasim menekankan bahawa ia bukanlah satu langkah yang bijak dalam mendidik generasi sekarang.
Katanya, ia malah membuatkan para pelajar lebih leka dengan tiadanya 'tekanan peperiksaan'.
"Mereka akan jadi leka dan tidak hiraukan sangat tentang untuk belajar dan bersaing dalam pelajaran.
"Yang perlu ditiadakan ialah soalan-soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan jika boleh kurang mata pelajaran yang tidak perlu.
"Rombak balik silibus kayangan yang tidak sesuai dengan pemikiran murid," cadangnya.
Ia turut disokong oleh warga maya lain kerana masih melihat peperiksaan antara medium penting bukan sahaja daripada sudut akademik tetapi juga daya ketahanan mental.
"Dulu, peperiksaanlah buat kami fokus untuk terus belajar. Rasanya perlu diperbaharui dan ditambah baik nilainya bukan mansuhkan.
"Bila belajar dalam keadaan baik pada tahap tekanan sesuai, kita akan lebih kuat," komen Ak Raizal.
"Bila murid tidak dilatih untuk menghadapi dan menguruskan tekanan, mereka akan hidup dengan bergantung kepada orang lain sampai mati," tambah Shukri Al Abrar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram