Pengezonan semula Batu Arang bagi projek insinerator dijangka ambil masa setahun


  • Massa
  • Selasa, 26 Nov 2024

Adi Faizal berkata, cadangan untuk menjadikan Jalan Welman, Rawang sebagai 'Little India' Selayang akan dipertimbangkan.

PENGEZONAN semula tanah perlu dilakukan sebelum sebarang penilaian dapat dijalankan ke atas projek insinerator di Batu Arang, Selayang, Selangor.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, tanpa pengezonan semula tapak daripada kediaman kepada kawasan industri berat, penilaian yang diperlukan mengenai kesan terhadap trafik, sosial dan alam sekitar tidak dapat dilaksanakan.

“Kita masih menunggu pengezonan semula dan kawasan itu diwartakan.

“Proses ini mungkin mengambil masa sehingga setahun kerana kami memerlukan masa untuk mengumpul maklumat geologi tapak tersebut.

BACA LAGI: Sumbat mayat dalam peti sejuk, anak hanya angguk faham dituduh bunuh ibu

BACA LAGI: [VIDEO] Niat nak tangkap ikan tak kesampaian, anggota tentera maut kena sambar petir ketika tambat perahu

“Apabila kawasan itu diwartakan, kami akan menganalisis ulasan dan bantahan daripada pakar dan pihak berkepentingan,” katanya semasa mesyuarat lembaga penuh MPS semalam.

Beliau berkata majlis itu menyedari tentangan terhadap projek RM4.5 bilion itu tetapi prosedur perlu dipatuhi.

StarMetro sebelum ini melaporkan tentang kebimbangan yang dibangkitkan oleh kumpulan Jaringan Rawang Tolak Insinerator yang menggesa kerajaan negeri supaya menolak Draf Rancangan Tempatan MPS 2030 yang merangkumi projek itu.

Dalam isu berasingan, Adi Faizal berkata, MPS akan mempertimbangkan cadangan untuk menukar Jalan Welman, Rawang sebagai “Little India” Selayang.

Cadangan itu dikemukakan oleh ahli majlis Zon 16, Anmuniandy Vellymalai semasa mesyuarat tersebut.

Menurutnya, dengan mewujudkan "identiti unik" di kawasan itu, ia boleh menarik lebih ramai pelancong ke Selayang.

Adi Faizal berkata, Jalan Welman telah lama menjadi hab perdagangan untuk semua kaum.

“Jalan ini sangat meriah ketika perayaan. Semasa Deepavali, kebanyakan peniaga di sana adalah kaum India manakala ketika Ramadan, majoriti peniaga adalah kaum Melayu.

“Justeru, keperluan semua kaum perlu dipertimbangkan apabila untuk mengkaji cadangan mengubah jalan itu menjadi Little India Selayang,” ujarnya.

“Buat masa ini, kita akan fokus kepada kebersihan dan memperindah jalan tersebut dengan seni jalanan agar lebih menarik,” tambahnya. — The Star / LEW GUAN XI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram