MASYARAKAT kini sering dimomokkan dengan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dikatakan mampu mengambil alih tugas profesional manusia.
Masakan tidak, sehingga hari ini, masih ramai beranggapan terutama warga pendidik bahawa kewujudan AI bakal menjejaskan reputasi dan kredibiliti mereka.
Lihat sahaja pada penggunaan ChatGPT iaitu program komputer direka khas untuk berbual atau menjawab soalan manusia yang dikatakan berpotensi mengubah landskap dalam bidang pendidikan di Malaysia.
Penggunaan ChatGPT yang semakin luas di Malaysia. — Gambar hiasan/Agensi
Tidak dinafikan ia sememangnya membawa perubahan ketara kepada guru dan para pelajar dalam menempuhi arus pendidikan moden ini.
Namun, kita juga tidak dapat menolak bahawa kemajuan teknologi itu mampu memberi kemudahan jangka panjang buat sistem pendidikan di negara ini.
Melihat daripada sudut positifnya, teknologi AI ternyata dapat dimanfaatkan dengan betul dan tidak mustahil akan meningkatkan lagi taraf Malaysia ke peringkat global.
Selaku Pengarah Urusan Corsera di Asia Pasifik, Raghav Gupta menyatakan bahawa kemudahan AI juga banyak dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat terkemuka selain universiti di Malaysia.
Coursera juga menjadi antara platform dan peneraju dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi kepada golongan pelajar, profesional atau institusi di seluruh dunia.
Raghav Gupta (kiri).
Dengan lebih 155 juta pelajar pendidikan tinggi berdaftar secara global dan hampir 870,000 daripadanya di Malaysia, Coursera komited menyokong pembelajaran sepanjang hayat melalui teknologi dan kandungan inovatif.
Menurut Raghav yang berpengalaman selama lebih 20 tahun dan berpangkalan di India, platform itu turut menyediakan akses kursus kepada sesiapa sahaja yang mahu meningkatkan kemahiran menerusi kemudahan AI secara dalam talian.
"Terdapat juga beberapa universiti terkenal di Eropah dan syarikat pencipta kandungan seperti Meta, Facebook, Google, Intel yang berkolaborasi dengan kami untuk memanfaatkan teknologi AI.
"Kebanyakannya juga mengambil kursus kemahiran menggunakan generatif AI contohnya Google Cloud dan ChatGPT.
"Antara universiti di Malaysia yang turut serta mengambil pendekatan ini ialah Wawasan Open University (WOU)," katanya kepada Majoriti.
Katanya, universiti swasta itu menawarkan akses percuma tanpa had buat para pelajar dan pendidiknya melalui 80 kursus Kecerdasan Buatan Generatif (Gen AI) dengan kerjasama Coursera.
Coursera menawarkan pelbagai kursus termasuk generatif AI di seluruh dunia.
Melalui program Coursera for Campus, kredit dari kursus tersebut juga boleh dapat pengiktirafan oleh Malaysian Qualifications Authority (MQA) sebagai antara daripada program ijazah.
"Kursus kemahiran ini turut beri impak besar di Malaysia. Buktinya, seramai 870,000 pelajar ambil lebih daripada 1.6 juta kursus pada 2023 dengan peningkatan sebanyak 20 peratus setiap tahun.
"Menariknya, kursus yang paling banyak diambil pelajar Malaysia adalah sesi mempelajari bahasa Korea secara digital.
"Ada juga golongan bekerja yang banyak ambil kursus pengurusan projek menggunakan AI.
"Purata pelajar Malaysia berusia 32 tahun terdiri daripada 54 peratus lelaki dan 46 peratus perempuan. Kira-kira 37 peratus sesi pembelajaran dilakukan melalui peranti mudah alih," jelasnya.
Pelajar termasuk golongan profesional kini ditawarkan akses untuk mendalami ilmu AI dengan lebih teliti melalui Coursera.
Menurutnya, teknologi AI secara tidak langsung mampu meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global sehingga RM17 trilion dan seramai 4.5 juta pekerja memerlukan peningkatan kemahiran dalam teknologi itu untuk kekal relevan.
Raghav berkata, platform menyediakan kursus generatif AI dapat membantu masyarakat mempunyai daya saing tinggi dalam era digital serta mempercepatkan pembangunan kerjaya mereka.
Justeru, dalam landskap pendidikan global yang semakin mencabar ini, pihaknya berdiri sebagai rakan kongsi strategik demi memberi akses pembelajaran sepanjang hayat itu.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif dan Naib Canselor WOU, Profesor Dr Lily Chan memaklumkan bahawa kursus-kursus yang ditawarkan di WOU adalah merangkumi pelbagai topik dari asas AI hingga aplikasi lanjutan dalam bidang perniagaan, transformasi digital serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM).
Baginya, kerjasama itu akan mempertingkatkan pengalaman pembelajaran di kalangan pelajarnya khususnya melalui penyertaan kandungan Gen AI untuk mempersiapkan mereka dengan kemahiran kritikal bagi menghadapi cabaran ekonomi digital yang semakin berkembang pesat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram