'Main macam budak sekolah', aksi hambar Perak berdepan PDRM kecewakan fans


  • Podium
  • Sabtu, 02 Nov 2024

Aksi Liga Super antara PDRM-Perak berlangsung dengan hambar pada Sabtu.

PERAK FC gagal memanfaatkan peluang semasa bertemu PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selayang dalam aksi Liga Super pada Sabtu apabila sekadar mengutip satu mata hasil keputusan seri 1-1.

Skuad Yusri Che Lah gagal mengambil peluang untuk mendapatkan gol. Malah, beberapa ketika PDRM dilihat menguasai perlawanan.

Situasi tersebut menyebabkan perlawanan terikat 0-0 pada 45 minit pertama.

BACA LAGI: Perak FC sudah jumpa keluarga, YCL bakal terima prospek hangat skuad Piala Presiden

BACA LAGI: 'Luka yang melukakan', skil Milunovic, kesilapan Shivan punca Perak FC biar Sang Penyu curi mata

Persembahan hambar itu berterusan di separuh masa kedua dengan Perak beraksi lebih hambar apabila memboloskan gol pertama perlawanan.

Aremu Timothy memboloskan gol Perak pada minit ke-57 dengan dia sudah pun menghasilkan jaringan dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Perak begitu terdesak mahukan jaringan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Luciano Guaycochea menerusi sepakan percuma.

Sepakan percuma pada minit ke-68 begitu cantik dan ia sukar untuk ditepis keluar oleh Bryan See.

Melihat kepada persembahan hambar, penyokong Perak dilihat kecewa kerana mereka tidak dapat menguasai perlawanan dengan baik walaupun Stadium MP Selayang dipenuhi majoriti peminat The Bos Gaurus.

Malah, ada yang menganggap persembahan Perak seperti "budak sekolah" kerana kualiti bola sepak yang ditonjolkan tidak menepati standard dimahukan.

"20 minit pertama main macam apalah, macam budak sekolah main," kata penyokong bernama Mohd Jebat.

"Dua-dua pasukan main tak ada penyudah, ada banyak peluang tapi disia-siakan," komen Ab Ghafar.

"Tolonglah main betul-betul, kalah tak apa janji puas hati," ujar Mat Azli. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram