Ramai berteka-teki, peniaga dedah ‘influencer’ minta bayaran lebih RM3,000 reviu nasi goreng tepi jalan


  • Hiburan
  • Khamis, 31 Okt 2024

Tangkap layar seorang peniaga mendedahkan cas mahal dikenakan seorang pempengaruh di laman sosial.

SEORANG peniaga meluahkan kekecewaannya apabila dikenakan bayaran mahal oleh pempengaruh yang tampil mahu membuat reviu makanan di gerainya.

Mendakwa tidak pernah membuat perjanjian dengan pempengaruh terbabit, individu itu dikatakan secara tiba-tiba datang dan meminta bayaran lebih RM3,000 untuk satu hantaran di media sosial.

Kadar bayaran itu dikatakan cukup mahal dan tidak bersesuaian dengan imej perniagaannya yang cuma berniaga di tepi jalan raya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan sampai hilang kepercayaan', Tok Jalal titip nasihat agar suami sentiasa hargai isteri

BACA LAGI: [VIDEO] 'Memoir Seorang Guru' alam nyata, Cikgu Al Tarmizi kongsi suka duka pengalaman mengajar di pedalaman Sarawak

"Ada influencer makanan nak reviu gerai aku, gerai aku ni tepi jalan je tapi nak kenakan harga sampai beribu-ribu.

"Kalau aku dapat lebih sejuta tontonan tak apa juga, aku ni gerai tepi jalan je bukan boleh nak terima pelanggan ramai pun.

"Geram betul, senang buat duit, makan dapat duit pun dapat," ujarnya di laman Thread pada Rabu.

Enggan mendedahkan identiti dan nama pempengaruh tersebut, peniaga itu walau bagaimanapun menjelaskan individu berkenaan cukup terkenal di laman sosial.

Ruangan komen dipenuhi persoalan warganet yang tertanya-tanya akan nama pempengaruh tersebut.

"Siapakah dia? Macam ada juga beberapa restoran dan gerai makan cerita benda sama, pempengaruh ni minta dalam RM3,000 hingga RM5,000, fuh seram dengar," kata lunafaiy.

"Saya pernah dengar mak cik pasar malam di Cameron Highland bebel kata ada pempengaruh mal reviu makanan minta lebih RM5,000, padahal cuma pasar malam je, mungkin orang yang sama agaknya," ujar sitinurhafizah.

"Siapa la agaknya, kadang-kadang yang tak berapa terkenal pun tapi berlagak lebih minta bayar mahal," tambah Hamid77.

Peniaga tersebut walau bagaimanapun difahamkan menolak tawaran daripada pempengaruh tersebut dan kini banyak menghasilkan video sendiri di laman sosial Instagram @abgnasigoreng. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram