Akmal Rizal direhatkan atau digugurkan, 3 calon tepat termasuk ex coach jadi pengganti


  • Podium
  • Rabu, 30 Okt 2024

Akmal Rizal tidak diturunkan pada aksi Harimau Kumbang tewas 0-4 kepada Sabah FC pada Ahad lalu. — Facebook/PenangFC

NASIB ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sama ada akan direhatkan seketika atau digugurkan masih menjadi tanda tanya selepas tiada perkembangan terkini daripada Ahli Lembaga Pengarah (BOD).

Pada perlawanan terakhir Liga Super menentang Sabah FC baru-baru ini, tiada kelibat Akmal Rizal di Stadium Bandaraya, George Town dan menyaksikan kelibat Pengarah Teknikal Penang FC, Merzagua Abderrazak yang mengendalikan perlawanan Harimau Kumbang.

Ura-ura mengatakan Abderrazak dikhabarkan akan mengambil alih tugas pengendali berusia 42 tahun itu selaku pengendali sementara sehingga pasukan Utara tanah air berkenaan bertemu pengganti sesuai.

BACA LAGI: Lagi coach Liga Super bakal ucap selamat tinggal, Akmal Rizal antara nama dipetik peminat

BACA LAGI: Gaji tak sangkut, cuma fans pelik kenapa Penang FC ‘toya’ berdepan kelab bernasib lebih malang

Prestasi skuad Harimau Kumbang di bawah kendalian Akmal Rizal mula dipersoalkan selepas pasukan itu tidak mencatatkan kemenangan dalam lima perlawanan terakhir apabila hanya merekodkan satu seri dan selebihnya tewas.

Status Akmal Rizal semakin menemui jawapan apabila pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di platform Twitter (X) miliknya pada Selasa mengatakan seorang pengendali bakal mengucapkan selamat tinggal.

Sekiranya pihak pengurusan Penang FC serius mahu menyingkirkan Akmal Rizal dalam waktu terdekat, adalah lebih baik jika mereka mula mengatur langkah untuk memantau calon pengganti sesuai.

1) Tomas Trucha

trucha

Kali terakhir Trucha berada di saingan Liga M adalah ketika mengendalikan Kelantan Darul Naim pada musim lepas. — Facebook/PenangFC

Nama Tomas Trucha mungkin kurang digemari penyokong Penang FC namun secara tidak disedari pengendali kelahiran Republik Czech itu sebenarnya memberi perubahan positif kepada Harimau Kumbang pada tahun pertamanya.

Pengendali berusia 53 tahun itu membantu Harimau Kumbang berada di tangga ketiga pada musim 2021 dan ia sememangnya mengejutkan banyak pihak, apatah lagi perjalanan skuad itu yang bermula daripada saingan Liga Perdana pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, jodohnya dengan pasukan itu berakhir pada Mei 2022 dengan dia juga terpalit kontroversi selepas didakwa kononnya sengaja menjatuhkan skuad Harimau Kumbang selepas dia mungkin tidak berpuas hati dengan pengurusan kelab.

Sekiranya Penang FC berani memulakan hubungan baharu bersama bekas pengendali Kelantan Darul Naim FC, Trucha pasti tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri bersama para pemain Harimau Kumbang.

2) Bernando Tavares

isi dalam dalam

Tavares kini bergelar pengendali PSM Makassar. — Agensi

Jurulatih semasa kelab Indonesia, PSM Makassar iaitu Bernardo Tavares antara calon pengendali import yang boleh dipertimbangkan oleh Harimau Kumbang lagi-lagi selepas melihat profilnya.

Dia mulakan kerjaya kejurulatihannya pada 2001 sebagai penolong jurulatih di akademi SL Benfica. Setelah itu, pernah menjadi pembantu di Alcobaca (2002), akademi Sporting Lisbon (2008), Carregado (2009), Belenenses (2010), dan Hidd SCC (2013).

Tavares yang menyertai PSM Makassar pada 2022 itu berhasil membantu pasukan berkenaan memenangi trofi Liga 1 Indonesia pada tahun pertamanya bersama skuad Juku Eja berkenaan.

Sebelum ini, PSM Makassar dilaporkan mengalami isu tunggakan gaji sehingga tahun lalu dia terpaksa melelong baju dan trofinya, Penang boleh cuba memancing Tavares untuk menyertai kelab Utara tanah air itu.

3) Azzmi Aziz

azzmi aziz

Azzmi kini tidak bekerja dengan mana-mana pasukan Liga Super. — Facebook/NSFC

Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Abdul Aziz disahkan meninggalkan jawatan sebagai pengendali skuad Jang Hobin Jang pada Ogos dan kerusinya digantikan oleh penolong jurulatih, K. Nanthakumar.

Azzmi yang cemerlang ketika memimpin PDRM FC pada musim 2023 seolah-olah tidak berhasil mengulang magisnya ketika bersama Negeri Sembilan apabila dia gagal meraih kemenangan mahupun keputusan seri dalam tujuh perlawanan diharunginya.

Sedangkan ketika bersama The Cops, Azzmi mengejutkan Kedah Darul Aman FC dengan kemenangan 1-0, kejayaan menundukkan Selangor FC 1-0 dan kemudian menewaskan Sabah FC dengan kekalahan 0-1.

Meskipun rekod buruk bersama NSFC namun pengendali berusia 49 tahun yang cukup dikenali dengan taktikal permainan bertahan sambil bergantung kepada serangan balas pantas itu masih boleh dipertimbangkan menjadi calon pengganti Akmal Rizal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram