Gaji tak sangkut, cuma fans pelik kenapa Penang FC ‘toya’ berdepan kelab bernasib lebih malang


  • Podium
  • Ahad, 20 Okt 2024

Skuad Tok Gajah berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menundukkan Penang FC di tempat lawan. — Facebook/Sri Pahang FC

KEALPAAN benteng pertahanan Penang FC sekali lagi mengundang padah apabila menyebabkan mereka tewas kepada Sri Pahang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.

Ini disaksikan pada masa kecederaan babak pertama apabila sebanyak lima pemain skuad Harimau Kumbang gagal mematahkan hantaran pemain lawan, Sergio Aguero dalam kotak penalti.

Kelekaan itu menyaksikan penyerang skuad Tok Gajah, Mykola Ahapov mudah menampan masuk bola untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan dengan kedudukan 1-0 berpihak kepada pasukan pelawat kekal sehingga penghujung permainan.

BACA LAGI: [VIDEO] Ledak gol jumpa Penang FC, Avanzini kongsi terima 'azimat' Bojan Hodak

BACA LAGI: 'Sikh Izhan mengelamun apa?' persembahan keeper Penang lepaskan gol mudah gusarkan fans

464103018_848599234129702_6879446944543366664_n

Kelekaan skuad Harimau Kumbang pada babak pertama permainan.

Jadi, isu pertahanan berkenaan sekali lagi menjadi buah mulut penyokong Penang FC yang mempersoalkan kualiti barisan pertahanan dengan masalah berkenaan berulang setiap perlawanan.

Tidak cukup dengan itu, rata-rata daripada mereka turut menyentuh kesungguhan anak-anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang dijaga dari sudut kebajikan, namun mengecewakan setiap kali berdepan pasukan dengan nasib berbeza.

"Terbukti dari pihak pengurusan sehingga pemain Penang FC, semuanya gagal. Macam mana pasukan yang ada masalah gaji boleh berprestasi lebih baik daripada kita?

"Setiap tahun cerita yang sama, kesilapan yang sama, prestasi teruk yang sama. Selepas ini lawan Sabah FC, kalah itu pasti. Ayuh kosongkan stadium sebagai protes kepada pihak atasan," kata Rey Hope.

464014112_18443069587066187_3887413611853704650_n

Skuad Harimau Kumbang berada di tangga ke-11 Liga Super selepas 12 perlawanan. Facebook/MFL

"Apa entah yang dimahukan? Sudah beri Merzgua Abderrazak sebagai pengurus, sudah beri gaji ikut masa, sudah adakan sesi team building. Apa lagi yang anda mahu?" soal Ghadaffy Alkhared.

"Tak tahu nak cakap apa. Team building sudah buat, nak apa lagi? Siapa yang bermasalah sekarang? Gol Pahang itu sebenarnya boleh dielakkan, pemain sampai lima orang duduk dalam kotak penalti, apa yang dilakukan masing-masing?" soal Muhammad Fariz.

Kebajikan skuad Harimau Kumbang sememangnya tidak perlu dipersoalkan kerana berdasarkan perkongsian ramai, mereka tidak pernah berdepan masalah tunggakan gaji.

Namun, situasi berbeza dialami Sri Pahang FC yang berdepan masalah itu sejak awal musim dengan beberapa pendedahan mengatakan pemain tidak menerima gaji untuk kira-kira lima bulan.

Keputusan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang itu menyaksikan skuad Tok Gajah melonjak ke tangga kesembilan sementara Penang FC jatuh ke kedudukan ke-11 selepas kedua-dua mereka mengharungi 12 perlawanan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram