Terlalu banyak kerja dalam masa semakin suntuk buat Akmal Rizal


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Khamis, 24 Okt 2024

Timbul ura-ura mengatakan Akmal Rizal akan dilepaskan dari jawatannya dalam masa terdekat. — Facebook/Penang FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

PADA waktu ini lebih kurang setahun lalu, Penang FC merehatkan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt, dan penolongnya, Manzoor Azwira Abd Wahid, sehingga selesai Liga Super musim 2023. Serentak dengan itu, bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, diumumkan selaku pengendali sementara.

Apa yang berbeza ketika itu ialah aksi liga cuma berbaki tiga perlawanan dan Akmal memanfaatkannya untuk mengalahkan Sri Pahang FC 3-2 dan seri 1-1 dengan Terengganu FC – kedua-duanya di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang -- sebelum menutup musim dengan kekalahan 0-8 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat lawan.

Hasil air tangannya ketika itu, Penang FC berupaya mengelakkan kedudukan lebih buruk dengan mengakhiri musim di tangga ke-10 daripada 14 pasukan – cuma di atas Perak FC, Kelantan United, Kuching City FC dan Kelantan FC.

BACA LAGI: Nafuzi jurulatih paling tidak dicemburui dilemanya ketika ini

BACA LAGI: Penantian, kesabaran Fandi pada Agapov berbalas dengan tiga mata penting

2048117

Manzoor Azwira digugurkan selepas rentetan keputusan tidak memberangsangkan. Facebook/Penang FC

Siapa dapat menduga kira-kira 11 bulan selepas diumumkan secara rasmi selaku ketua jurulatih Penang FC pada 17 Januari lalu, situasi serupa dengan Yee Fatt dan Manzoor akan berbalik kepada Akmal – dengan jurulatih berusia 42 tahun itu kini di ambang dilucutkan jawatan.

Ini selepas skuad Harimau Kumbang itu gagal mengutip kemenangan dalam lima perlawanan terakhir – tiga daripadanya kekalahan – untuk singgah di tangga ke-11 selepas 12 perlawanan dalam pusingan pertama liga yang baru selesai.

Tiada petanda lebih jelas daripada kemerosotan jumlah penonton di gelanggang sendiri sebagai petunjuk semakin hilangnya keyakinan mereka terhadap Penang FC untuk menempatkan diri sekurang-kurangnya dalam kelompok pertengahan liga musim 2024/2025 ini yang masih berbaki 12 perlawanan hingga April depan.

Cuma 1,104 penonton hadir menyaksikan tuan rumah tunduk 0-1 kepada Sri Pahang FC, Ahad lalu – kemerosotan daripada 1,492 orang ketika seri 2-2 dengan Negeri Sembilan FC (22 September), 1,000 orang sewaktu menundukkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 (1 Ogos), 8,122 orang ketika tewas 0-1 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 22 Jun dan 4,557 orang apabila mengikat Terengganu FC 0-0 (19 Mei).

Ditanya mengenai angka-angka itu, Akmal lebih daripada memahaminya dan tidak menyalahkan penyokong yang mengharapkan pertunjukan lebih baik daripada pasukan untuk meriuhkan keadaan di Stadium Bandaraya.

464183067_1109403237366996_6605383968670303691_n

Penyokong mula mendesak perubahan segera dilakukan terhadap skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

“Apabila mereka melihat prestasi pasukan, yang gagal menang tiga perlawanan terakhir, tentunya mereka kecewa hingga menyebabkan kemerosotan jumlah penonton. Saya mahu mohon maaf kepada penyokong atas apa yang sedang kami lalui.

“Musim ini sudah sampai ke garis pertengahannya dan kami mempunyai 12 perlawanan lagi. Pemain-pemain sedar bahawa mereka perlu berusaha lebih baik jika mahu menghidupkan kembali cabaran musim ini,” katanya seperti dipetik The Star selepas perlawanan Ahad lalu.

Cuma, peningkatan prestasi adalah suatu kepastian yang ditagih. Apa yang tidak pasti ialah sama ada Akmal akan terus membimbing pasukan hingga ke akhir musim.

“Pemain-pemain telah mengikut setiap pelan dan arahan. Mereka sudah beri yang terbaik, tidak ada sebarang rungutan daripada saya kepada pemain-pemain. Cuma mungkin kegagalan yang ada sekarang kekurangan pada diri saya.

“Saya sudah melakukan yang terbaik yang mampu saya lakukan. Jika terus diberi kepercayaan, saya pasti akan bersama-sama pemain untuk terus bangkit,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan Ahad lalu.

464235050_1109400637367256_5963262215258353024_n

Skuad Harimau Kumbang sekali lagi tewas ketika berdepan Sri Pahang FC. Facebook/Penang FC

Secara tersiratnya, Akmal pasrah dengan apa saja keputusan pengurusan pasukan ke atasnya. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam – di sebalik penyokong dikatakan menuntut supaya kedudukannya dipertimbangkan semula dengan baki saingan liga yang masih panjang.

Ketika ini pun, timbul pelbagai spekulasi yang berlegar mengenai nasibnya hingga ada yang mengandaikan perlawanan menentang Sabah FC di Stadium Bandaraya pada Jumaat akan menentukan kedudukannya di samping Pengarah Teknikal, Merzagua Abderrazak, diletakkan sebagai calon pengganti.

“Ya (Akmal ada) sehingga pengumuman selanjutnya,” kata Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew, seperti dipetik Kosmo tanpa menghuraikan keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah Penang FC pada Isnin bagi membincang dan membuat beberapa keputusan penting untuk masa depan pasukan Penang FC.

“Pengurusan Penang FC akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan penting dan drastik ini yang telah dibuat setelah beberapa aspek dimuktamadkan dalam waktu terdekat ini,” tambahnya.

463915140_1108123760828277_8824536605436272947_n

Skuad Harimau Kumbang masih belum berada dalam prestasi terbaik ketika ini. Facebook/Penang FC

Keputusan itu boleh difahami sebagai belum ada ketetapan untuk merehatkan Akmal serta-merta kecuali melihat prestasi pasukan dari satu perlawanan ke perlawanan berikutnya – selepas Sabah FC akan disusuli kunjungan untuk berdepan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 1 November.

"Kami tidak boleh terus kalah dan kehilangan mata pada perlawanan seterusnya kerana kami akan berada di kedudukan terbawah dan sudah pasti tidak akan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

"Ketika sedang memasuki pusingan kedua Liga Super, banyak kerja yang perlu dilakukan dan setiap pemain sedar mereka perlu mempamerkan usaha yang lebih," luah Akmal kepada Astro Arena.

Jam akan terus berdetik buat Akmal, yang harus sedar masa yang terluang semakin suntuk untuknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram